fbpx

Soundcircus Weekender gegarkan REXKL awal Mac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FESTIVAL muzik Soundcircus Weekender yang akan berlangsung pada 4 dan Mac depan bukan hanya menghimpunkan artis indie lokal tetapi turut menjemput dua buah kumpulan dari negara Indonesia. Foto - SADDAM YUSOFF

KUALA LUMPUR – Buat julung kali, peneraju pertunjukan gaya hidup alternatif dan juga indie, Art Of Speed Malaysia (AOSM) bersama pengeluar produk peranti elektronik Bro Asia menjalin kolaborasi menganjurkan festival muzik Soundcircus Weekender yang paling dinantikan ramai.

Festival muzik yang bakal berlangsung pada 4 dan 5 Mac depan akan menghimpunkan nama-nama besar pengkarya muzik tempatan dan luar dalam acara SoundCircus Weekender bertempat di REXKL, Kuala Lumpur.

Menurut pengasas dan ketua pegawai eksekutif Bro Asia, Roman Lai, pihaknya berbesar hati menerima tawaran daripada AOSM untuk bersama-sama menjayakan acara khas buat penggiat muzik ‘underground’.

“Kami sangat berbangga dan teruja menerima pelawaan AOSM untuk bersama-sama menjayakan acara Sound Circus Weekender yang gah ini.

“Kolaborasi ini sangat tepat dengan hala tuju jenama kami yang baharu dan bersesuaian dengan peminat AOSM,” katanya.

Sementara itu, pengarah festival, Asep Ahmad Iskandar berkata, buat pertama kalinya mereka menganjurkan festival muzik selama dua hari berturut-turut dengan membariskan pemuzik terbaik.

“Lebih istimewa pada tahun ini, buat pertama kalinya festival muzik bergenre indie rock diadakan selama dua hari berturut-turut.

“Pemilihan kumpulan adalah berdasarkan suara kolektif komuniti yang disenarai pendekkan oleh mereka yang peka dengan perkembangan muzik semasa.

“Selain itu, Battle Of The Band turut diadakan pada sebelah siang yang akan disertai lebih kurang 19 buah kugiran muzik baharu bergenre indie, rock dan raggae dengan jumlah lebih 30 artis serta kugiran yang bakal menghiburkan pengunjung,” kata Asep selaku penganjur utama.

ASEP berharap penganjuran Soundcircus Weekender berjaya menarik minat penggemar muzik indie dan hip-hop datang ke festival muzik berkenaan.

Antara pemuzik yang bakal beraksi adalah Sweetass, Bunkface, Noh Salleh & Restoe Iboe Band, Iqbal M, Flop Poppy, A.C.A.B, Grey Sky Morning, Naratu, Budak Nakal Hujung Simpang, Jemson, Mergasatwa, Impatient Sisters, Republic Of Brickfields, Asyrfnsir, Yonny Boi, Kmy Kmo dan Lucka Sickta.

Selain penghibur tempatan, festival berkenaan turut membawa masuk pemuzik Indonesia yang menyertai acara Soundcircus Weekender iaitu The Sigit dan Mooner.

Tambahnya lagi, sebelum ini mereka menganjurkan festival muzik di tengah-tengah ibu kota dan untuk kemudahan dan kesenangan peminat yang bakal hadir kelak.

“Istimewanya acara pada tahun ini, selain mengambil tempat di bangunan pawagam lama yang diberi nafas baharu di REXKL, turut diadakan secara stand-alone tanpa acara tahunan AOSM yang biasanya diadakan di MAEPS, Serdang.

“Kami menjangkakan pengunjung yang hadir rata-ratanya terdiri daripada peminat muzik indie dan hip-hop berumur antara 18 hingga 40 tahun,” ujarnya.

Selaku penganjur, besar harapan mereka untuk peminat beramai-ramai menyokong SoundCircus Weekender dengan menjanjikan kepuasan pada dua hari berturut-turut.

“Kami berharap agar acara muzik ini menjadi pilihan utama peminat muzik yang ingin berhibur di lokasi strategik.

“Semoga pengunjung akan pulang dengan rasa puas hati berhibur pada acara SoundCircus Weekender dan mencipta memori terindah,” tuturnya.

Acara SoundCircus Weekender merupakan medan pengumpulan pengkarya muzik dari dalam mahupun luar negara dengan menghidangkan cita rasa muzik segar masa kini demi memuaskan halwa telinga peminat.

Penjualan tiket masih lagi dijual menerusi laman sesawang https://scf.artofspeedmy.com dengan harga bermula pada RM158. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI