KOTA BHARU – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan menyasarkan seramai 16,000 penjawat awam di negeri ini untuk mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) pada tahun ini.
Pengarahnya, Nora Yaacob berkata, pihaknya akan berusaha memperluas jaringan keselamatan sosial di bawah SKSSR kepada semua penjawat awam wanita di negeri ini untuk mencapai sasaran itu.
Menurutnya, meskipun skim itu dibuka kepada wanita, golongan lelaki juga boleh mencarum untuk isteri atau anak perempuan mereka.
“Setakat ini, 60,000 penjawat awam bekerja di Kelantan dan Perkeso menyasarkan sekurang-kurangnya 16,000 orang dapat didaftarkan menerusi SKSSR untuk tahun ini.
“Oleh itu, kita berharap Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dapat membantu dalam mempromosikan SKSSR kepada penjawat awam memandangkan banyak faedah yang diperoleh daripada skim tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Perkeso Negeri Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Nora memberitahu, sebelum ini, lebih 7,000 wanita di Kelantan berdaftar di bawah skim Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) dan mereka terus didaftarkan secara automatik di bawah SKSSR pada Disember lalu.
Menurutnya, daripada jumlah itu, hanya seramai 71 orang suri rumah yang telah menyahut seruan Perkeso untuk mendaftar dan mencarum di bawah skim tersebut.
“Sehubungan itu, Perkeso ingin menyeru semua suri rumah di Kelantan untuk mencarum di bawah skim ini.
“Menjadi suri rumah bukannya kerja mudah dan mereka sepatutnya juga diberikan jaringan keselamatan kerana terdedah kepada risiko bencana ketika berada di rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE