fbpx

Dapatkan rawatan jika golongan komorbid, warga tua dan bergejala teruk Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GOLONGAN komorbid masih boleh mengalami kesan yang teruk akibat Covid-19 sehingga menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian.- GAMBAR HIASAN

KETIKA pandemik Covid-19 melanda negara kita pada awal tahun 2020, kerajaan melaksanakan peraturan ketat untuk  keselamatan semua. 

Kini, walaupun Malaysia telah berada dalam fasa ‘Peralihan ke Endemik’ susulan keberkesanan tindakan pencegahan  dan kawalan kesihatan awam, namun ia tidak bermakna negara kita telah bebas daripada ancaman Covid-19.

Orang ramai juga sudah menerima dan menganggap wabak ini seperti demam selsema biasa. 

Namun begitu, sekiranya dijangkiti, adakah cukup untuk sekadar kuarantin diri di rumah?

Pakar Perunding Respiratori, Dr. Helmy Haja Mydin berpesan agar rakyat Malaysia untuk melindungi diri dan orang tersayang terutamanya mereka yang berisiko tinggi daripada Covid-19.

Menurutnya, terdapat golongan yang menganggap diri mereka sudah ‘kebal’ selepas disahkan sembuh daripada  jangkitan Covid-19 dan mungkin memandang ringan terhadap langkah keselamatan yang disyorkan. 

VAKSIN diberikan untuk mengawal penularan penyakit Covid-19-GAMBAR HIASAN

“Keyakinan tanpa asas ini dikhuatiri bakal menjadi ancaman kepada lebih ramai orang kerana golongan yang  berasa ‘kebal’ mungkin tidak lagi memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal serta penjagaan  kebersihan.

“Setakat ini tidak ada jaminan bahawa mereka yang sudah sembuh daripada jangkitan Covid-19 tidak boleh dijangkiti  semula,” katanya yang juga merupakan Profesor Madya di Fakulti Perubatan, Universiti Malaya dan turut merawat  pesakit Covid-19.

Tambahnya, vaksin pula diberikan untuk mengawal penularan penyakit Covid-19 dan apabila semakin ramai orang  mendapat vaksinasi, semakin ramai penduduk membentuk antibodi dan seterusnya mengurangkan kebarangkalian berlaku komplikasi penyakit Covid-19 yang lebih teruk.

Walaupun vaksin boleh mengurangkan risiko penyakit yang teruk, namun golongan berisiko tinggi seperti warga emas dan mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah serta individu yang ada komorbid masih boleh mengalami kesan yang teruk akibat Covid-19 sehingga menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian.

Ini merupakan peringatan bahawa kita tidak patut mengambil ringan tentang Covid-19 dan harus terus mengambil  langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri kita dan orang tersayang.

Dr. Helmy menjelaskan, antara contoh golongan berisiko tinggi termasuk warga emas, kanak-kanak, wanita mengandung, pesakit kronik atau mereka yang mempunyai komorbiditi (diabetes, hipertensi, sakit jantung, asma), pesakit imuniti  rendah (kanser, HIV) serta mereka yang menghidap penyakit autoimun, seperti lupus dan rheumatoid arthritis,.

“Penyakit komorbid adalah salah satu istilah yang sering dikaitkan dengan penyakit Covid-19 dan mereka yang  mempunyai penyakit komorbid adalah lebih berisiko menderita gejala yang parah apabila dijangkiti Covid-19.

“Komorbid ditakrifkan sebagai orang yang mempunyai dua atau lebih penyakit atau keadaan perubatan yang tidak  berkaitan secara serentak. Sebagai contoh, pesakit diabetes boleh menghidap tekanan darah tinggi (hipertensi),  atau pesakit kanser yang menghidap penyakit asma pada masa yang sama,” terangnya.

SETAKAT ini tidak ada jaminan bahawa mereka yang sudah sembuh daripada jangkitan Covid-19 tidak boleh dijangkiti  semula.-GAMBAR HIASAN

Penyakit yang dihidapi akan melemahkan sistem badan, menyukarkan badan untuk menghapuskan punca penyakit dan  melawan penceroboh asing seperti virus dan bakteria. 

Apabila seseorang individu menghidap dua atau lebih penyakit pada masa yang sama, ini boleh membebankan badan. 

Oleh itu, pesakit tersebut mungkin memerlukan masa yang lebih lama untuk pulih daripada seseorang yang tidak mempunyai sebarang komorbid.

Dalam pada itu, Dr. Helmy menyarankan supaya masyarakat menggunakan kit ujian kendiri Covid-19 yang dijual di  pasaran untuk tujuan diagnosis. 

Terangnya, langkah berkenaan amat penting terutamanya bagi golongan rentan termasuk warga emas dan ahli keluarga  yang mempunyai masalah komorbiditi dalam usaha mengelakkan jangkitan tidak disedari sehingga terlewat merawatnya.

“Individu yang perlu menjalani ujian saringan adalah individu yang mempunyai gejala dan yang mempunyai kontak rapat  dengan pesakit disahkan positif Covid-19. 

DR. HELMY

“Ini adalah untuk memastikan anda tidak menyebarkannya kepada orang yang anda sayangi, terutamanya mereka yang  berisiko tinggi mengalami Covid-19 yang teruk,” jelasnya.

Tambahnya, sekiranya anda disahkan negatif dan tiada gejala, maka tidak perlu untuk melakukan ujian ulangan.

APA yang paling penting, bertindak pantas jika anda test positif dan bergejala. 

Amalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek) dan dapatkan nasihat doktor segera, terutamanya jika anda  antara golongan berisiko tinggi.

Sementara itu, rawatan tersedia diberikan kepada pesakit Covid-19, terutamanya mereka yang berisiko tinggi untuk  mengelakkan penyakit menjadi lebih teruk, mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian. 

Rawatan harus dimulakan secepat mungkin sejak mula bergejala.

Antara rawatan adalah dengan pengambilan ubat antiviral.

Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menggunakan ubat antiviral di fasiliti kesihatan KKM bagi merawat pesakit Covid-19  kategori dua dan tiga. 

Rawatan harus dimulakan secepat mungkin selepas diagnosis dilakukan untuk keberkesanan yang optimum.

Selain itu, rawatan juga boleh menggunakan ubat antibodi monoclonal dan ia boleh digunakan sebagai profilaksis pra-pendedahan atau  Preexposure prophylaxis (PrEP) untuk golongan yang belum dijangkiti Covid-19 tetapi berisiko tinggi untuk dijangkiti.

Dr. Helmy menitipkan pesan supaya golongan berisiko tinggi yang disahkan positif dinasihatkan segera hadir ke CAC  di Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan terpilih untuk dinilai kesesuaian rawatan. 

WARGA emas antara golongan yang berisiko berhadapan dengan Covid-19.-GAMBAR HIASAN

“Begitu juga dengan individu yang positif dan mengalami simptom yang semakin teruk dikehendaki hadir ke CAC atau  hospital berhampiran segera untuk pemeriksaan lanjut.

“Paracetamol boleh melegakan kesakitan ringan atau sederhana seperti mengurangkan suhu badan atau ketidakselesaan  akibat demam. 

“Bagaimanapun, orang ramai disarankan agar segera mendapatkan rawatan di hospital berdekatan jika gejala Covid-19  yang mereka alami semakin memburuk,” jelasnya.

Kesimpulannya, jika didapati Covid-19 positif, golongan berisiko tinggi dinasihatkan hadir ke CAC di Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan terpilih untuk dinilai kesesuaian rawatan. 

Individu yang positif dan mengalami simptom yang semakin teruk juga dikehendaki hadir ke CAC atau hospital berhampiran segera untuk pemeriksaan lanjut.

Orang ramai dinasihatkan agar terus mematuhi saranan dan nasihat kesihatan termasuk amalkan TRIIS (Test, Report,  Isolate, Inform, and, Seek) sebelum menghadiri aktiviti sosial atau jika bergejala dan dapatkan ujian Covid-19 dengan  segera jika mereka mempunyai simptom.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI