fbpx

Seludup haiwan liar, 11 ditahan dengan nilai rampasan RM4.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara haiwan yang dirampas sekitar Selangor dan Kedah sejak Januari lalu.

PETALING JAYA – Polis telah menahan seramai 11 suspek dengan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM4.9 juta membabitkan perdagangan hidupan liar dan pencerobohan serta pemburuan hidupan liar tanpa permit dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) sejak Januari lalu.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, 11 suspek tersebut terdiri daripada 10 orang warga tempatan manakala seorang warga negara asing telah ditahan dalam lapan serbuan dan operasi di sekitar Kuala Lumpur, Kedah dan Selangor.

Jelasnya, operasi tersebut dijalankan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) menerusi Wildlife Crime Bureau (WCB) dan Perisikan dan Siasatan Khas (PSK).

“WCB/PSK telah berjaya membuat tangkapan seorang lelaki warga tempatan di Selangor dan merampas sebanyak 69 terbitan (produk) hidupan liar dengan jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM1.2 juta dalam salah satu operasi bagi tempoh 1 Januari hingga 16 Februari.

“Operasi ini juga telah mendapat penghargaan daripada Global Tiger Forum (GTF) iaitu sebuah badan antarabangsa yang ditubuhkan bagi melindungi habitat asal harimau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

Sementara itu Noorsiah berkata, sebanyak 23 kes dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM2.6 juta telah direkodkan sepanjang tahun lepas dan berjaya menyelamatkan hidupan liar dan haiwan dilindungi seperti burung murai batu, Blue Monkey, kucing batu, burung Hill Myna, burung helang, musang, iguana dan ayam hutan.

Ujarnya, salah satu kes yang menarik pada tahun lepas adalah WCB/PSK berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Vietnam di Kelantan yang melakukan penyeludupan haiwan liar melalui jalan laut dengan menggunakan sebuah kapal nelayan.

“Pihak WCB/PSK berjaya merampas kapal nelayan tersebut yang mengandungi 59 sangkar besi berisi musang dan satu sangkat berisi burung ruak-ruak.

“Kami akan terus komited dalam membanteras sindiket perdangan hidupan liar dan akan meneruskan kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasaan serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjaga biodiversiti negara dan kelestarian alam.

“Operasi yang dijalankan juga turut menyasarkan sindiket membabitkan pelombong haram, pembalakan haram, marin biologi dan ekologi yang memusnahkan flora dan fauna,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI