fbpx

Warga asing guna sindiket nikah ekspres bayar RM450

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki Rohingya dan pasangannya warga Indonesia dicekup dalam operasi bersepadu di Jalan Pulau Senang, Semabok, Melaka, pagi tadi.

MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengesan sindiket pernikahan ekspres yang digunakan warga asing untuk mendapatkan sijil perkahwinan palsu dalam satu serbuan bersepadu di Jalan Pulau Senang, Semabok, di sini, malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1 pagi itu, dua buah keluarga ditahan dengan satu daripadanya telah mengemukakan dokumen pernikahan palsu membabitkan lelaki Rohingya dengan wanita Indonesia.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, hasil soal siasat dilakukan lelaki Rohingya berusia 30-an itu mendakwa telah bernikah dengan pasangannya secara ‘koboi’ di dalam rumah sewa mereka pada tahun 2018.

Ujarnya, pernikahan itu telah dilakukan oleh individu didakwa imam dengan pembayaran sebanyak RM450 dan diberikan sijil pernikahan dipercayai palsu.

“Serbuan bersepadu ini dibuat susulan aduan daripada penduduk serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem mengenai perkampungan etnik Rohingya di kampung ini.

“Hasil pemeriksaan kita telah menahan dua buah keluarga termasuk pasangan Rohingya dan Indonesia yang disangsi status pernikahannya kerana kita syaki mereka telah menggunakan khidmat sindiket dengan bayaran RM450,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas tamat operasi kira-kira pukul 2.30 pagi.

Turut bersama adalah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan penguat kuasa daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia.

Mengulas lanjut Che Sukri berkata, wanita berusia 30-an itu juga disyaki masih berstatus isteri orang dan mempunyai seorang anak hasil perkahwinan dengan lelaki Indonesia.

“Wanita itu mendakwa dia dan anaknya telah ditinggalkan begitu sahaja oleh suaminya terdahulu selama enam bulan, namun tiada sebarang pembubaran perkahwinan berlaku.

“Pada bulan seterusnya dia telah berkahwin dengan lelaki Rohingya ini dan mendapat seorang anak yang dilahirkan pada 2021,” katanya.

Katanya, pasangan lain ditahan merupakan pasangan rakyat tempatan iaitu wanita berusia 31 dan lelaki 61 tahun yang bersekedudukan tanpa dokumen sah bersama dua kanak-kanak.

Ujarnya, kesemua yang ditahan telah dibawa ke pejabat JAIM bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman mendatangkan syak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI