fbpx

Lawatan Zambry ke Arab Saudi padat perbincangan penting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry.

PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dijangka bertemu dengan ramai pemimpin sepanjang lima hari lawatan rasmi beliau ke Arab Saudi yang bermula hari ini.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, kunjungan itu signifikan kerana Arab Saudi ialah negara rantau Asia Barat pertama dilawatinya sejak menyandang jawatan akhir tahun lalu.

“Ia turut menggambarkan hubungan amat istimewa yang wujud serta komitmen kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata kenyataan itu hari ini.

Bahkan lawatan Zambry sehingga Khamis ini termasuk berjumpa pemimpin Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dengan diiringi oleh para pegawai kanan Kementerian Luar sendiri.

Beliau dijadual bertemu rakan sejawatannya, Putera Faisal Farhan bagi membincangkan pengukuhan kerjasama dua hala termasuk penganjuran Majlis Koordinasi Malaysia-Saudi.

Menteri itu juga akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Pelaburan Arab Saudi, Khalid Al-Falih untuk meneroka potensi bidang ekonomi baharu bagi kedua-dua negara.

Seterusnya, Zambry juga dijangka bertemu Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk, Jasem Mohamed Albudaiwi di pejabat sekretariat organisasi enam negara itu di ibu kota Riyadh.

“Ia susulan pelantikan Malaysia oleh ASEAN menjadi hos sidang kemuncak bersama dua blok serantau itu yang julung kali akan diadakan suku ketiga tahun ini,” jelasnya.

Zambry turut dijadual bertemu secara berasingan Setiausaha Agung OIC, Hissein Brahim Taha serta Setiausaha Agung Liga Muslim Dunia, Dr. Mohammed Al-Issa semasa di sana.

Sepanjang lawatan itu, beliau akan turut mengadakan sesi perjumpaan bersama ramai ahli perniagaan di Riyadh dan Jeddah bagi meneroka kerjasama pelaburan yang baharu.

Kepentingan Arab Saudi jelas Wisma Putra, masih lagi kekal sebagai rakan perdagangan eksport dan sumber import paling besar Malaysia di rantau Asia Barat sejak sekian lama.

Pada tahun lalu, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM45.52 bilion, peningkatan sebanyak 159.2 peratus berbanding nilai tahun sebelumnya iaitu hanya RM17.56 bilion. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI