KUALA TERENGGANU – Gara-gara sikap tidak bertanggungjawab segelintir membuat tuntutan palsu, bantuan banjir berjumlah RM1,000 kepada setiap keluarga terjejas di Terengganu masih tidak dapat diagihkan.
Dianggarkan daripada kira-kira 29,000 permohonan diterima daripada keluarga terjejas banjir tersebut, hampir 3,000 meragukan dan perlu disemak kesahihannya.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memutuskan untuk menangguhkan sementara pengagihan bantuan tersebut yang sepatutnya dilunaskan awal bulan ini.
Beliau menjelaskan, ia bagi membolehkan proses pemutihan dilakukan jabatan pembangunan dan kemajuan kampung (JPKK) demi menjamin ketelusan.
“Masalah timbul kerana sikap anggota masyarakat kita juga dengan membuat tuntutan bertindih.
“Suami dan isteri masing-masing buat tuntutan berasingan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) berlainan,” katanya di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, tambah mengecewakan, segelintir pihak turut cuba mengambil kesempatan membuat tuntutan walaupun kediaman mereka sebenarnya langsung tidak terjejas banjir pada musim tengkujuh ini. – KOSMO! ONLINE