fbpx

Hanya 2.4 peratus OKU di Malaysia daftar dengan KPWKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aiman Athirah (dua dari kanan) bersama Kon Yeow (empat dari kiri) pada majlis perasmian Mini Karnival OKU di Pantai Robina Eco Park, Butterworth, semalam.

SEBERANG PERAI – Hanya 2.4 peratus atau kira-kira 633,653 daripada penduduk Malaysia berdaftar sebagai orang kelainan upaya (OKU) dengan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sehingga penghujung tahun lalu.

Angka itu bagaimanapun dianggap rendah kerana jumlah OKU yang terdapat di Malaysia ketika ini dianggarkan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi penduduk di negara ini yang melebihi 33 juta orang.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya mengambil beberapa inisiatif untuk meningkatkan kesedaran khususnya dalam kalangan anggota masyarakat atau ahli keluarga yang mempunyai anak OKU untuk segera mendaftar.

Menurutnya, antara inisiatif itu termasuklah menganjurkan karnival mini untuk meraikan golongan berkenaan dengan menggabungkan penyertaan daripada pelbagai pertubuhan pemulihan dalam komuniti (PDK).

“Kita berharap agar lebih ramai ibu bapa khususnya yang mempunyai anak-anak OKU ini tidak lagi berasa rendah diri selepas ini. Sebaliknya, mereka perlu tampil ke hadapan untuk kita kenal pasti (masalah anak mereka) dan jika dapat dibantu lebih awal (pemulihan) maka, itu lebih baik.

“Pada masa sama juga, kita berharap dapat menghilangkan stigma terhadap OKU dalam kalangan masyarakat menerusi program-program dan kempen kesedaran seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mini Karnival OKU peringkat negeri di Pantai Robina Eco Park di Butterworth di sini, semalam.

Program yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Strategik), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rosmahwati Ishak serta beberapa Exco Kerajaan negeri.

Ketika ini, terdapat kira-kira 565 PDK di seluruh negara yang mampu memberi manfaat kepada lebih 18,000 OKU dengan 24 daripada PDK tersebut berada di Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Kon Yeow memberitahu, terdapat seramai 34,445 OKU berdaftar di Pulau Pinang sehingga bulan ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI