GEORGE TOWN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memandang serius sebarang salah laku termasuk perbuatan vandalisme dan gangsterisme membabitkan pelajar sekolah di negeri ini.
JPN Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, pihak pentadbir sekolah di semua peringkat seringkali diingatkan untuk mengambil langkah-langkah wajar bagi membendung dan mencegah perlakuan sedemikian.
“JPN Pulau Pinang mengambil maklum tentang rakaman video tular, yang mana memaparkan perlakuan murid merosakkan harta benda sekolah pada hari akhir sesi persekolahan 2022.
“JPN Pulau Pinang amat kesal akan kejadian tersebut dan akan memastikan isu ini diberi perhatian yang serius oleh pihak sekolah,” kata JPN Pulau Pinang di sini hari ini.
Menurut JPN Pulau Pinang, langkah didikan akhlak serta pencegahan akan segera diambil bagi memastikan kes demikian tidak berulang.
“Tindakan sewajarnya sedang diambil oleh pihak sekolah yang mana sekolah telah memanggil murid terlibat bersama waris mereka
hari ini (18 Februari) bagi membincangkan isu ini.
“Murid akan dilibatkan dalam khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang lagi. Nilai kerugian kerosakan harta benda sedang dalam siasatan,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, JPN Pulau Pinang sentiasa komited untuk memastikan kesejahteraan guru dan murid diberi perhatian sekali gus mempergiatkan kempen hentikan vandalisme serta pelan tindakan yang komprehensif selari dengan tujuh teras KPM.
“Dalam masa yang sama, portal-portal yang menyiarkan video tersebut tanpa menutup muka murid disaran untuk memadam video tersebut
kerana bercanggah dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001,” kata JPN Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE