PUTRAJAYA – Dua buah pesawat angkut milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini berlepas ke Syria bagi membawa bantuan kepada mangsa gempa bumi di negara berkenaan.
Menurut Wisma Putra, pesawat jenis A400M itu berlepas pada pukul 10 malam dari Pangkalan Udara Subang, Selangor dengan mengangkut 42 tan sumbangan.
“Selain kru TUDM yang bertugas, penerbangan khas itu turut melibatkan seramai 51 wakil daripada pelbagai kementerian dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
“Penerbangan ke Syria akan mengambil tempoh masa selama 17 jam 30 minit dengan melalui ruang udara beberapa negara dan dua persinggahan teknikal,” katanya tadi.
Ia diketuai Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Pelbagai Hala Kementerian Luar, Datuk Cheong Loon Lai dan diiringi Panglima TUDM, Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan.
Bantuan kemanusiaan tersebut berjaya dikumpulkan sejak Rabu lalu untuk mangsa bencana tersebut di utara Syria yang dilanda tempias gempa dari selatan Turkiye minggu lepas.
Antara barangan tersebut ialah makanan siap sedia dimakan, keperluan bayi, ubat-ubatan, set generator elektrik, pakaian dan selimut, kelengkapan diri, khemah serta karpet lantai.
Pesawat tersebut dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik tengah hari esok sebelum penghantaran dilaksanakan ke zon terjejas gempa. – KOSMO! ONLINE