BANGKOK – Satu klip video menunjukkan seorang wanita memasak mi hitam sehinggakan ada penonton di media sosial menganggap dia memasak cacing untuk dimakan, lapor portal berita Ndtv semalam.
Dalam klip tersebut, dia menambah mi hitam ke dalam kuali yang sudah ada bawang, udang, cili dan daun selasih yang terlebih dahulu digoreng.
Wanita itu menggaulkan semua bahan itu dan menambahkan lagi beberapa biji cili sebelum menghidangkan mi tersebut di atas pinggan.
Sejak dikongsi di media sosial, video tersebut mendapat lebih lima juta tontonan dan lebih 97,000 tanda suka selain mendapat ribuan komen tentang masakan itu.
Malah, ada netizen membandingkan cara masakan tersebut dengan cacing dan ular kerana bentuknya yang kelihatan seperti kedua-dua haiwan tersebut.
“Adakah hanya saya yang menyangka ia adalah cacing,” kata seorang netizen yang memberikan komen tentang masakan tersebut.
Terdapat juga komen yang menyatakan ia adalah anak ular kerana bentuk mi tersebut yang panjang dan berwarna hitam. – Agensi