BANGKOK – Pihak berkuasa di Thailand menyerbu kediaman seorang lelaki tempatan di Phuket kerana menjual anak buaya menerusi aplikasi TikTok, lapor laman berita Thaiger semalam.
Ketika serbuan, pegawai dari Pejabat Perikanan Wilayah Phuket berjaya merampas 22 ekor anak buaya air tawar dari rumah suspek di Moo 8 SriSoonthorn, di daerah Thalang.
Petugas menemui buaya di kawasan rumah tersebut yang ditempatkan di dalam kolam kecil.
Serbuan itu dilakukan susulan aduan yang diterima mengenai iklan penjualan buaya di laman TikTok. Iklan itu menawarkan buaya untuk dihantar ke mana-mana kawasan di Thailand, demikian menurut laporan rasmi.
Theeradej, 35, berkata, dia sebelum ini mempunyai permit sah untuk memperdagangkan haiwan liar yang diperoleh hasil pembiakan itu, namun permitnya tamat pada 9 September tahun lalu.
Lelaki itu mengaku dia terus menjual anak buaya melalui Internet, lapor akhbar The Phuket News.
Suspek didakwa dengan kesalahan pemilikan haram hidupan liar yang dilindungi di bawah AKta Pemuliharaan dan Perlindungan Hidupan Liar 2019.
Penternakan buaya menjadi industri popular di Thailand dengan beberapa ladang di seluruh negara dikhususkan untuk penternakan bagi mendapatkan kulit dan daging buaya.
Bagaimanapun, industri itu dikritik kerana kesannya terhadap populasi buaya dan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap haiwan tersebut.
Beberapa ladang didapati mengurung buaya di kawasan sempit dan terdapat laporan mengenai penganiayaan dan penderaan. – Agensi