PETALING JAYA – Berbaki kira-kira 24 jam menjelang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, kebanyakan calon bertungkus-lumus melakukan persiapan akhir.
Ismareha Hasmah Ismail Hasman, calon Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19 Shah Alam berkata, berbaki 24 jam menjelang SPM, dia kini fokus untuk menyemak kembali kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukan dalam latihan atau peperiksaan sebelumnya.
“Isnin ini mula dengan Bahasa Melayu kertas 1 dan 2, jadi saya guna masa yang tinggal ni untuk semak kesalahan sebelum ni supaya dapat elak kesilapan berulang.
“Saya juga baca contoh karangan terbaik sebab cara ni dapat tambah idea untuk tajuk karangan popular dengan format karangan yang betul,” katanya.
Ismareha yang tidak menafikan sedang merasai debaran menjelang peperiksaan, turut menyifatkan Matematik Tambahan adalah subjek paling mencabar, namun bagaimanapun ada formula penyelesaiannya sendiri.
Sementara itu, Nur Irsalina Ismail, calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Daya 2 menggunakan baki masa dengan melakukan ulang kaji bersama rakan-rakan yang cemerlang bagi mata pelajaran yang agak lemah.
“Cara ni dapat bantu saya untuk mantapkan lagi pengetahuan dan tambah idea untuk jawab peperiksaan. Selain tu, saya tonton YouTube berkenaan dengan topik yang saya kurang faham bersama latihan sampingan,” ujarnya.
Muhammad Arash pula berkata, dia kini hanya membaca dan membuat catatan penting menerusi notanya sebagai persiapan akhir.
“Masa yang tinggal ni saya beri tumpuan pada catatan ringkas. Saya dapat fokus pada subjek penting dan perlu diberi keutamaan disebabkan masa yang ada tidak lagi banyak,” kongsinya. -KOSMO! ONLINE