fbpx

Beberapa premis dan jalan di Taiping ditutup kerana PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

Oleh ASLIZA MUSA

TAIPING – Beberapa buah premis di sekitar kawasan Penjara Taiping dan Pusat Koreksional Kamunting ditutup operasi bermula hari ini selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Penutupan itu juga melibatkan Jalan Taming Sari bermula dari Mess Renjer hingga lampu isyarat persimpangan Sekolah Kebangsaan (SK) Klian Pauh.

Keputusan penutupan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bencana Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) yang dipengerusikan Pegawai Daerah, Mohamed Akmal Dahalan, malam tadi.

Pejabat Daerah dan Tanah LMS dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasminya memberitahu, PKPD Penjara Taiping meliputi kawasan Kuarters Anggota Penjara, Berek Hitam dan Blok Bunga Tanjung (di sebelah SK Klian Pauh).

Katanya, operasi di Muzium Perak turut ditutup sepanjang PKPD.

“Penutupan turut melibatkan kedai makan Nasi Lemak Kambus, Mom’s Prison, Nursery Yard Master dan Tokong Ling Nam Ku Miew,” kata kenyataan itu hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang akhbar hariannya memberitahu kerajaan akan melaksanakan PKPD di sembilan penjara di zon Utara dan Selangor mulai hari ini hingga 4 November depan.

Penutupan itu membabitkan Pusat Koreksional Perlis; Penjara Sungai Petani; Penjara Taiping; Pusat Koreksional Kamunting dan Penjara Tapah di Zon Utara.

Zon Selangor pula membabitkan Penjara Reman Sungai Buloh; Penjara Kajang; Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI