fbpx

Dua wanita kemudi dua kapal Maritim Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shahrizan (tengah) bersama tiga Pegawai Memerintah Kapal termasuk dua wanita yang baharu dilantik iaitu, Nurul Hanin (kiri), Badri (dua kiri) dan Fadzliana (kanan) di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Perak di Lumut.

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

LUMUT – Selepas mencatatkan sejarah melantik seorang pegawai wanita menjadi Pegawai Memerintah Kapal sebelum ini, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sekali lagi mencatat sejarah apabila melantik dua lagi pegawai wanita sebagai Pegawai Memerintah Kapal.

Bekas Penolong Pengarah Kanan Seksyen Dasar Pengurusan Kompetensi di Cawangan Dasar Latihan dan Pengurusan Kompetensi Bahagian Sumber Manusia, Ibu Pejabat Maritim Malaysia Putrajaya, Leftenan Komander Fadzliana Fadzil dilantik mengemudi Kapal Maritim (KM) Tugau.

Seorang lagi iaitu Bekas Penolong Pengarah Kanan Unit Penguatkuasaan dan Eksesais, Seksyen Operasi, Maritim Malaysia Pulau Pinang, Leftenan Maritim Nurul Hanin Mohd. Isa, diberi tanggungjawab mengemudi KM Nyalau.

Fadzliana, 37, mengambil alih jawatan Pegawai Memerintah KM Tugau daripada Leftenan Komander Maritim Mohd Badri Barid Abdullah yang bertukar tugas sebagai Pegawai Memerintah KM Rawa.

Nurul Hanin, 39, pula mengambil alih tugas mengemudi KM Nyalau daripada Leftenan Komander Maritim Aida Arzahari, yang akan bertugas sebagai Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Dasar Luar Negara, Cawangan Dasar Operasi, Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim di Putrajaya.

Aida, 37, sebelum ini mencatat sejarah menjadi wanita pertama negara dilantik Pegawai Memerintah kapal pada 2018.

Majlis serah terima tugas antara mereka disaksikan Pengarah Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Perak, di sini, hari ini.

Turut diadakan majlis serah terima tugas Pegawai Memerintah KM Rawa antara Mohd Badri Barid yang mengambil alih jawatan itu daripada Leftenan Komander Maritim Tuan Mazzukei Mohammad yang bertukar sebagai Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Dasar Pengurusan Kompetensi di Cawangan Dasar Latihan dan Pengurusan Kompetensi Bahagian Sumber Manusia Maritim Malaysia di Putrajaya.

Dalam ucapannya, Fadzliana mengucapkan terima kasih kepada pengurusan tertinggi Maritim Malaysia dan Pengarah Maritim Malaysia Perak yang memberi kepercayaan kepada mereka berdua melaksanakan tugas penting itu.

“Kami akan menggalas tanggungjawab tugas penguatkuasaan ini dengan baik dan mengutamakan sifar kemalangan di laut dalam apa jua keadaan.

“Harapan kami dapat meneruskan komitmen dan kerjasama baik dengan semua warga kapal serta Maritim Malaysia Perak untuk terus cemerlang,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrizan menjelaskam pelantikan Fadzliana dan Nurul Hanin membuktikan Maritim Malaysia tidak mengamalkan diskriminasi jantina dalam penugasan dan perjawatannya.

“Pelantikan ini menjadikan Maritm Malaysia Perak mempunyai dua pegawai memerintah wanita selepas Aida bertukar ke ibu pejabat.

“Jantina bukan penghalang untuk penjawatan di kapal dan sehingga kini Maritim Malaysia Perak mempunyai enam anggota wanita yang bertugas di tiga kapal dan pasukan sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shahrizan berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu hingga semalam, sebanyak 83 kes atas pelbagai kesalahan membabitkan penahanan 279 individu termasuk 116 warga tempatan, direkodkan.

Katanya, secara keseluruhan, sebanyak 9,352 pemeriksaan dilakukan dan 882 penggeledahan vesel di perairan Perak, manakala sebanyak 52 penugasan pengusiran bot dan 145 bot nelayan daripada Indonesia sudah diusir. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN