MACHANG – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bercadang untuk menaiktaraf MyKad yang sedia sedia ada berikutan sistem pengenalan diri itu sudah dilengkapi dengan 12 ciri keselamatan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ciri keselamatan pada Mykad ketika ini sudah mengikut piawaian yang telah ditetapkan.
“Apabila kerajaan memilih satu sistem yang dinamakan MyKad, ia sudah dilengkapi dengan semua ciri keselamatan sama ada untuk komponen cip, foto, kad dan kualitinya.
“Dengan adanya ciri-ciri keselamatan itu, ia sekali gus menyukarkan mana-mana pihak untuk memalsukan MyKad,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program KDN Madani di Kompleks Perpaduan Jajahan Machang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang masalah atau aduan daripada rakyat berhubung isu MyKad.
Katanya, justeru, KDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti pemalsuan MyKad. – KOSMO! ONLINE