PETALING JAYA – Seorang lelaki menggunakan taktik menjadikan seorang kanak-kanak lelaki sebagai ‘rakan subahat’ untuk mencuri sebuah telefon bimbit di sebuah kedai baru-baru ini.
Perkongsian video oleh pemilik akaun TikTok EliteAnt MLBB itu difahamkan berlaku di sebuah pusat membeli belah di Kuching, Sarawak.
Melalui video berkenaan kelihatan lelaki berkenaan memanggil kanak-kanak sedang berlegar di pusat membeli belah itu untuk mencuri telefon bimbit yang berada di kaunter bayaran kedai itu.
Rata-rata pengguna media sosial undang rasa kecewa atas perbuatan lelaki berkenaan yang dilihat sebagai seorang yang tidak bertanggungjawab menjadikan kanak-kanak sebagai mangsa keadaan bagi aktiviti jenayah dilakukannya.
“Bahaya sekarang ini, kanak-kanak dijadikan mangsa dan dipergunakan,” kata Cikpit.
“Sudah guna budak tu kau boleh pula tinggalkan macam itu je..memang kau orang yang langsung tak bertanggungjawab hanya gunakan orang untuk kepentingan diri sendiri,” kata Juriah.
“Pihak berkuasa kalau nak heret dia (lelaki) tu ke penjara jangan heret budak itu pula dia tak bersalah dalam hal ini sebab dia tak tahu apa-apa,” kata Amanda.
Dalam pada itu, orang ramai juga turut menasihatkan ibu bapa agar sentiasa menjaga serta memerhati anak-anak ketika berada di kawasan awam agar perkara seperti ini tidak berulang di masa akan datang.
“Ibu bapa juga harus jaga dan sentiasa dekat dengan anak bila berada diluar, takut perkara macam ini terjadi pada anak-anak kita pula,” kata Avis.
“Mana mak ayah budak tu? bahaya bia budak-budak macam ini, kalau orang tu nak culik pun boleh,” ujar Siti – KOSMO! ONLINE