BINTANGOR – Sebelas kubur di tanah perkuburan Iban di Sungai Selemas rosak akibat dipecah, dikorek dan barang di dalamnya dicuri.
Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis (DSP) Sekam Anoi berkata setakat semalam, kubur-kubur yang dirosakkan itu melibatkan empat kubur lelaki dan tujuh kubur wanita.
Katanya tanah perkuburan berkenaan juga dikongsikan oleh penduduk rumah panjang di Sungai Sian, Muara Bunut, Teluk Batu dan Sungai Pemalai.
“Kejadian disedari oleh penduduk kampung pada Rabu lalu semasa mereka melakukan kerja-kerja pembersihan kubur,” katanya yang dihubungi, hari ini.
Kejadian dipercayai dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan barangan kemas di dalam kubur-kubur berkenaan.
Sekam berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada Khamis lalu dan telah mengerahkan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Meradong untuk meninjau lokasi kejadian bersama beberapa orang penduduk kampung.
Justeru, katanya satu pasukan ‘task force’ telah ditubuhkan untuk menyiasat dan menangkap pencuri-pencuri kubur berkenaan.
“Setakat ini belum ada tangkapan dan kita masih memburu mereka yang terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE