KLANG – Malang menimpa lima sekeluarga apabila disamun sekumpulan penjenayah bertopeng dan berparang yang menyusup masuk rumah mereka di Taman Petaling, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu turut mengakibatkan seorang daripada mangsa cedera akibat dipukul suspek yang meloloskan diri.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa terdiri daripada empat wanita dan seorang lelaki berusia 38 hingga 70 tahun yang berada dalam rumah teres dua tingkat itu.
Katanya, empat suspek memakai topeng, sarung tangan dan bersenjatakan parang dipercayai menaiki sebuah kereta Proton Waja yang parkir di laluan belakang kediaman itu.
“Mereka memasuki rumah menerusi pintu belakang. Suspek kemudian mengikat tangan dan menutup mulut empat sekeluarga sebelum membawa mereka ke dalam bilik manakala seorang lagi mangsa tidak diikat atas faktor usia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Hoong Fong, beberapa suspek turut menendang hidung, memukul dengan kayu dan mengetuk kepala seorang wanita berusia 45 tahun dengan parang.
“Penjenayah itu menyelongkar bilik dan mengambil wang tunai RM4,000, lima telefon bimbit dan pelbagai barang kemas dianggarkan bernilai RM20,000 sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta Waja sama,” ujarnya.
Tambah beliau, kereta yang menggunakan nombor plat palsu itu ditemui pihaknya di Taman Desawan namun semua suspek lesap.
“Kita bagaimanapun menemui beberapa barang kes bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan semua suspek terlibat masih sedang giat dijalankan,” ujarnya.
Terdahulu, sebuah video tular di media sosial memaparkan empat lelaki bertopeng keluar dari sebuah rumah manakala seorang wanita cedera dengan kesan darah pada badan. – KOSMO! ONLINE