LOS ANGELES, California – Alat sulit lelaki mengalami perubahan dalam tempoh 30 tahun lalu, demikian menurut satu kajian baharu yang membimbangkan pakar-pakar kesihatan, lapor portal berita MailOnline.
Menurut kajian oleh pasukan penyelidik Universiti Stanford, perubahan itu melibatkan aspek fizikal organ pembiakan lelaki.
Bimbang dengan penemuan itu mereka berkata, perubahan yang berlaku mungkin disebabkan oleh pendedahan kepada bahan kimia, gaya hidup tidak aktif dan makanan ringan.
Pasukan penyelidik sama menerbitkan penemuan mereka pada 14 Februari lalu dalam penerbitan The World Journal of Men’s Health.
Mereka membuat rumusan setelah mengkaji data daripada 75 kajian yang dilakukan antara tahun 1942 hingga 2021, melibatkan 55,761 organ pembiakan lelaki.
Profesor urologi di Pusat Perubatan Stanford, Dr. Michael Eisenberg berkata: “Sebarang perubahan secara keseluruhan adalah membimbangkan kerana sistem pembiakan kita adalah salah satu bahagian biologi manusia yang paling penting.
“Jika kita melihat perubahan pantas ini, ini bermakna sesuatu yang ketara sedang berlaku pada badan kita. Kita harus cuba mengesahkan penemuan ini dan jika disahkan, kita mesti mengenal pasti puncanya” kata beliau. – Agensi