PUTRAJAYA- Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jerman dilihat terus diperkukuh ke tahap lebih baik dalam pelbagai aspek menerusi lawatan Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier ke Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat menghargai kesudian pemimpin negara Kesatuan Eropah itu dalam meningkatkan kerjasama meliputi beberapa bidang terutamanya isu perubahan iklim dan islamofobia.
Perdana Menteri berkata, Jerman merupakan rakan dagangan penting kepada Malaysia sejak dahulu lagi selain mampu meningkatkan aspek ekonomi melalui beberapa persetujuan pelaburan baharu di negara ini.
“Lawatan ini memberikan penghormatan tinggi dari negara Jerman, dan saya amat berterima kasih atas kunjungan kepada pentadbiran kerajaan baharu Malaysia bagi pihak rakan-rakan Kabinet dan rakyat Malaysia seluruhnya.
“Kami juga menghargai persetujuan syarikat Jerman untuk membuat pelaburan baharu di Johor dan kita turut membincangkan mengenai keprihatinan kita berhubung isu sekatan Kesatuan Eropah (EU) terhadap produk sawit negara,” katanya dalam sidang akhbar bersama di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini..
Terdahulu, Steinmeir tiba di Bangunan Perdana Putra pada pukul 5.15 petang bagi mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum kedua-duanya menyertai sidang akhbar secara bersama dengan media tempatan dan antarabangsa.
Semalam, Steinmeir dan isteri, Elke Budenbender serta delegasi termasuk pegawai kanan, ahli perniagaan dan pengamal media mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang bagi mengadakan lawatan rasmi sehingga esok.
Menerusi lawatan selama tiga hari itu, Steinmeier juga diberikan sambutan negara di pekarangan Bangunan Parlimen pagi tadi selain turut dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Sebelum ini, Kementerian Luar berkata, lawatan Steinmeier bakal memberikan peluang terbaik kepada Malaysia dan Jerman untuk mengukuhkan hubungan baik serta kerjasama pelbagai bidang antara kedua negara.
Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU) di mana pada 2022, nilai pendapatan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 10.9 peratus dengan jumlah RM59.87 bilion berbanding RM53.99 bilion pada 2021.
Untuk rekod, lawatan negara terakhir melibatkan presiden Jerman ke Malaysia ialah 26 tahun lepas iaitu pada April 1997. – KOSMO! ONLINE.