fbpx

K2

Isteri menderita setelah suami kahwini janda muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERBALAHAN sering terjadi antara Ayu dan suaminya disebabkan ketidakadilan dalam perkahwinan poligami. – GAMBAR HIASAN

PERHUBUNGAN sejak di bangku persekolahan antara Ayu (bukan nama sebenar) dan lelaki yang dicintainya dibawa sehingga ke jenjang pelamin.

Saling menyukai antara satu sama lain, mereka berdua berkahwin pada usia yang muda. Setelah bernikah, Ayu diterima bekerja dalam sektor kerajaan.

Setelah lebih setahun berumah tangga, mereka berdua dikurniakan cahaya mata yang pertama.

Bagi Ayu, semuanya cukup indah waktu itu kerana dikurniakan suami yang penyayang dan cahaya mata yang menjadi pelengkap keluarga mereka.

Setelah hampir lapan tahun berkahwin dan dikurniakan dengan dua anak, mahligai indah yang mereka bina bersama akhirnya diuji.

“Saya tidak menyangka bahawa suami saya boleh curang di belakang saya dengan menjalin hubungan dengan seorang janda muda.

“Dia mengenali janda itu melalui rakannya. Saya amat kecewa dengan perbuatannya itu,” katanya kepada K2.

Tambahnya, suaminya juga telah berubah sikap setelah mengenali janda tersebut dan kadangkala mereka bertengkar.

Akhirnya tidak lama selepas itu, suaminya menyatakan hasrat untuk berpoligami dan mahu berkahwin dengan janda muda tersebut.

Ayu pada awalnya tidak membenarkan suaminya untuk berpoligami dan meminta dirinya dilepaskan jika suaminya berbuat demikian.

“Suami saya orang yang jenis nekad. Jika dia ingin berbuat sesuatu dia akan buat. Saya boleh rasakan pada waktu itu dia sudah gilakan janda tersebut.

“Saya sendiri ada berjumpa dengan janda tersebut dan meminta dia menjauhkan diri daripada suami saya. Namun, wanita itu tetap menjalinkan hubungan dengan suami saya dan tidak kisah sekiranya menjadi isteri kedua,” jelasnya.

Setiap hari, suaminya mendesak Ayu untuk berpoligami dan itu membuatkan wanita itu semakin runsing.

Suaminya juga berjanji untuk berlaku adil dalam perkahwinan poligami jika berkahwin dengan janda tersebut.

“Saya tidak rasakan suami saya boleh berlaku adil. Dia kerja biasa-biasa sahaja dan saya yang banyak membantunya untuk perbelanjaan rumah sebelum ini.

“Akhirnya saya berdamai dengan hati. Walaupun tidak rela untuk hidup bermadu, saya benarkan dia berbuat demikian. Namun, sebelum membenarkannya untuk berpoligami saya telah menyatakan kepadanya bahawa saya akan minta dilepaskan jika dia tidak boleh berlaku adil dan mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dan ayah,” tegasnya.

Setelah berpoligami, apa yang dikhuatirkan Ayu akhirnya menjadi kenyataan apabila suaminya tidak boleh berlaku adil.

Suaminya selalu menghabiskan masa di rumah isteri keduanya dan kadangkala hanya pada hujung minggu dia akan pulang berjumpa anak-anak.

Ada satu kali, hampir dua bulan, Ayu tidak diberikan nafkah batin.

 

SETELAH beberapa kali naik turun mahkamah syariah, Ayu yang menuntut fasakh akhirnya sah bercerai dengan suaminya. – GAMBAR HIASAN

 

“Saya rasa semakin diabaikan. Nafkah zahir dan batin suami saya jarang untuk tunaikan.

“Ada masa dia akan meminjam wang daripada saya. Kami juga selalu bergaduh dan sampai satu tahap saya ditampar olehnya,” jelas Ayu.

Tambahnya, disebabkan kian berasa tawar hati, kasih dan sayang kepada suaminya juga mulai hilang.

Setelah berfikir sedalam-dalamnya dan merasakan mahligai yang dibina berdua sudah tidak lagi bahagia seperti dahulu, Ayu akhirnya mengambil keputusan untuk mengakhiri hubungan mereka dengan cara menuntut fasakh di sebuah mahkamah syariah kerana suaminya enggan melepaskannya.

Di mahkamah, Ayu menyatakan suaminya itu secara cuai tidak melaksanakan tanggungjawab dengan adil setelah berpoligami iaitu dengan tidak memberikan nafkah zahir dan batin yang secukupnya tanpa alasan yang munasabah.

Ayu juga terpaksa berkorban mencari nafkah dan menjaga anak-anak secara bersendirian setelah suaminya itu memilih untuk berpoligami.
Disebabkan masalah itu juga, perbalahan yang panjang sering berlaku antara mereka dan Ayu menyertakan bukti-bukti yang mencukupi bagi menyokong permohonannya.

Akhirnya setelah beberapa kali naik turun mahkamah, permohonan Ayu untuk menuntut fasakh dibenarkan.

“Saya boleh untuk membesarkan anak-anak secara sendirian tanpa bantuan suami. Atas sebab itu saya memohon fasakh di mahkamah.

“Jika dia boleh bahagiakan isteri baharunya, saya juga layak untuk bahagia. Saya akan mencari kebahagiaan sendiri setelah berpisah dengannya. Hakikatnya, tidak semua wanita boleh hidup bermadu dan berkongsi kasih termasuk saya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI