fbpx

Malaysia bukan hanya ada Azeem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM perlu diberi ruang untuk menumpukan fokusnya di AS dan KOM perlu memberi ruang pelari lain beraksi pada Sukan SEA Kemboja nanti.

MALAYSIA mempunyai ramai lagi pelari yang berpotensi untuk memenangi pingat emas acara pecut 100 meter (m) Sukan SEA menjelang edisi 2023 di Phonm Penh, Kemboja dari 5 hingga 17 Mei depan.

Pemegang rekod 100m kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi sememangnya prospek terbaik untuk memenangi pingat emas berdasarkan catatan peribadi terbaiknya 10.09 saat (s).

Selain Azeem, kem olahraga negara masih memiliki nama-nama besar se­perti raja pecut Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan SEA Manila 2019, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi.

Tanpa Azeem, Malaysia masih boleh membariskan kuartet ampuh untuk acara 4x100m lelaki melibatkan Khairul, Haiqal dan dua lagi pelari negara yang turut layak ke Kemboja iaitu Jonathan Nyepa serta Muhammad Zulfiqar Ismail.

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) seharusnya memberikan peluang kepada pelari-pelari lain menggalas cabaran negara memandangkan keempat-empat mereka layak secara merit kate­gori A ke Kemboja nanti.

KOM sepatutnya sedar mengenai perkara itu dan tidak perlu terburu-buru untuk menerbangkan’ Azeem ke Kemboja dari Universiti Auburn hanya kerana dia adalah prospek emas Sukan SEA.

Seharusnya badan induk olahraga negara itu memikirkan jangka masa panjang dengan memberikan Azeem fokus sepenuhnya terhadap proses perkembangannya di bumi Amerika Syarikat.

Dua kejohanan awal di sana sudah memperlihatkan potensi besar Azeem dengan meme­cahkan rekod 60m dalam dewan kebangsaan sebanyak dua kali menerusi catatan 6.63s bulan lalu dan 6.62s minggu lepas.

Bapanya, Mohd. Fahmi Tajuid berkata, ini baru permulaan buat Azeem dan anaknya itu bakal menghadapi cabaran lebih besar dalam kariernya termasuklah isunya ke Sukan SEA yang sudah pun selesai kelmarin.

“Azeem selalu berkata dia perlu sabar dan cuba konsisten. Tekad dan keazaman yang kuat serta proses positif ini pasti akan meningkatkan motivasinya untuk meneruskan perjuangannya di sana,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI