PETALING JAYA – Hajat sebuah keluarga meraikan kepulangan pengurus perancangan lebur apabila lelaki berkenaan menemui ajal di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad Abdulaziz, Madinah, Rabu lalu.
Allahyarham Shamsuhaimie Ahmad, 46, yang masih bujang dan telah berkhidmat selama setahun di Arab Saudi telah menghembus nafas terakhir ketika sedang menunggu penerbangan pulang ke kampung halamannya di Batu Kurau, Perak.
Kakak Allahyarham, Sarifah Ahmad, 56, berkata, segala persiapan untuk menyambut kepulangan arwah yang merupakan anak bongsu daripada 10 beradik telah tersedia, namun tidak menyangka mereka sekeluarga menerima kejutan sebaliknya.
“Semua tunggu dia balik, makanan pun sudah siap terhidang atas meja. Tuala pun kita sudah letak di luar rumah kerana kebiasaannya arwah akan terus mandi di luar apabila pulang dari sana kerana dia bimbang bawa balik penyakit kepada keluarga.
“Arwah ada beritahu dia akan sampai Kuala Lumpur pada Khamis (kelmarin) pukul 11 pagi tetapi sampai masa dia senyap, tidak telefon, ingat adik mahu buat kejutan tiba-tiba sampai rumah mak. Namun dia tidak muncul-muncul.
“Kami pada mulanya tidak sampai hati mahu beritahu ibu tentang kematian adik sebab dia memang tunggu kepulangan adik. Kali terakhir ibu bertemu anaknya pada Disember lalu,” katanya di sini semalam.
Menurut Saripah, kali terakhir dia berbual dengan Shamsuhaimie Rabu lalu, sebelum adiknya bertolak ke lapangan terbang dan arwah ada memaklumkan akan bercuti selama 10 hari namun tidak memperincikan tentang penerbangannya.
Menurutnya, arwah seorang yang baik hati, pemurah dan disenangi ramai.
Shamsuhaimie juga telah menempah tiket untuk pulang bercuti bermula 11 April depan bagi menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
“Memang terkejut sebab arwah tiada penyakit cuma baru-baru ini beberapa kali dia mengadu rasa kebas pada kaki dan tangan tapi saya anggap itu perkara biasa.
“Mulanya pihak pengurusan di Madinah beritahu mahu kebumi selepas subuh (semalam) tetapi ditunda kepada selepas solat Jumaat kerana lebih ramai orang untuk solat jenazah dan kebumi di Madinah juga.
“Arwah tiap-tiap minggu pergi Masjid Nabawi, sebelum balik pun dia cakap nak singgah solat di sana dulu baru ke lapangan terbang. Rezeki arwah, dia pun pemurah dengan semua orang tak kira sesiapa pun,” ujarnya.
Sementara itu, abang Shamsuhaimie, Zulkifli Ahmad berkata, dia menerima berita kematian adik bongsunya itu kira-kira pukul 7 malam kelmarin.
Katanya, dia sekeluarga amat sedih kerana tidak dapat bertemu dengan arwah dan menatap wajahnya buat kali terakhir.
“Bayangkanlah, arwah dalam perjalanan pulang ke sini dan kami tidak bertemu kira-kira dua bulan. Sudah meninggal, jenazah pun tidak dapat ditatap dan hanya mendengar berita, maka bertambah sedih.
“Apabila mengetahui dia mahu pulang, kami termasuk emak di kampung ini sememangnya menunggu dia yang sepatutnya tiba pada malam semalam sekitar pukul 7 malam, kelmarin.
“Jika dapat melihat jenazah pun sedih, inikan tidak dapat jumpa jenazah. Meninggal pula di tempat orang,” ujarnya.
Zulkifli berkata, jenazah arwah kini diuruskan oleh pihak Kedutaan Malaysia di Madinah dan mereka bersyukur semuanya dipermudahkan.
“Ketika ini semua ahli keluarga arwah sedang berkumpul di kampung dan akan membuat solat jenazah ghaib selepas solat Jumaat,” jelasnya.