fbpx

PBB beri amaran Bangkok akan lenyap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar pada 1 Mac 2022 menunjukkan penduduk mendayung bot melalui kawasan yang ditenggelami air di daerah Saiburi, Pattani. - AFP

GENEVA – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres memberi amaran Bangkok akan lenyap susulan kebimbangan bahawa negara-negara di serata dunia akan tenggelam disebabkan peningkatan paras laut , lapor laman berita Thaiger kelmarin.

Guterres berkata, beratus-ratus juta penduduk yang tinggal di kawasan tepi pantai, tanah rendah dan negara pulau kecil diramal terjejas. Ia berikutan data baharu menunjukkan peningkatan paras air laut semakin ketara sejak 1900.

Negara seperti Thailand, Bangladesh dan Belanda berisiko kehilangan daratan yang luas dengan bandar besar seperti Bangkok, London dan Shanghai dijangka lenyap sepenuhnya.

Bangkok akan lenyap, bukan hanya kerana paras laut meningkat tetapi seperti Shanghai, ibu kota Thailand itu dibebani berat bangunan-bangunan yang menyebabkan tanah mendap kerana bandar raya itu dibina di kawasan tanah paya.

Senario itu dibentangkan pada perbahasan pertama Majlis Keselamatan PBB mengenai kenaikan paras air laut dunia.

“Ancaman semakin meruncing terhadap 900 juta orang yang tinggal di kawasan pesisir pantai dan zon rendah. Jumlah mereka menyamai nisbah satu dalam setiap 10 penduduk dunia,” kata Guterres.

Mesyuarat Majlis Keselamatan itu menyaksikan wakil dari 75 negara berucap dengan kesemua mereka menyuarakan kebimbangan tentang kesan buruk peningkatan paras air laut, demikian menurut laporan agensi berita Associated Press.

Perubahan iklim mengakibatkan Bumi lebih panas dan glasier mencair, kata Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) pula. Menurutnya, purata 150 bilion tan ais di Benua Antartika cair pada setiap tahun.

Bongkah ais di Greenland juga mengecil lebih cepat dan kehilangan 270 bilion tan ais setahun.

“Lautan di seluruh dunia menjadi panas lebih cepat pada abad lalu berbanding sepanjang 11,000 tahun lalu.

“Bumi sedang melepasi takat pemanasan 1.5 darjah yang diperlukan untuk ia sesuai didiami manusia pada masa depan dan berdasarkan dasar global semasa, suhu meningkat ke arah 2.8 darjah. Ia umpama hukuman mati terhadap negara-negara yang terdedah,” katanya.

Negara-negara membangun khususnya, mesti mempunyai sumber untuk menyesuaikan diri dengan dunia yang pesat berubah dan ini bermakna, komitmen iklim AS$100 bilion (RM433.2 bilion) kepada negara membangun perlu disampaikan.

Dengan peningkatan paras laut berisiko menimbulkan konflik terhadap persaingan sumber air tawar dan tanah yang semakin sengit, Guterres berkata, krisis iklim perlu ditangani menerusi puncanya iaitu mengurangkan pelepasan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI