fbpx

Tidak mustahil ASEAN bida tuan rumah Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMIDIN percaya cadangan untuk negara ASEAN membida jadi tuan rumah Piala Dunia tidak mustahil, namun perlu sokongan penuh kerajaan dan semua pihak. – SHIDDIEQIIN ZON

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui tidak mustahil negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) bakal ‘bersatu’ membida status tuan rumah Piala Dunia tetapi perlukan perbincangan lebih terperinci.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, bukan se­nang untuk mana-mana negara jadi tuan rumah Piala Dunia dan jika negara ASEAN serius, pasti perbincangan perlu dimulakan.

“Bukan tugas mudah untuk jadi tuan rumah (Piala Dunia). Negara terbabit perlu kuat daripada aspek kewangan, infrastruktur dan keselamatan.

“Jika ada cadangan untuk Malaysia bida jadi penganjur bersama, sudah pasti kita perlukan perbincangan lanjut di peringkat ASEAN dan saya tidak pasti sama ada mereka mahu atau tidak.

“Sebelum ini memang pernah ada cadangan untuk negara ASEAN bida jadi tuan rumah dan tidak mustahil sekiranya mendapat sokongan penuh daripada kerajaan dan semua pihak.

“Cuma, masa ini saya anggap masih terlalu awal kerana komitmen diperlukan cukup tinggi dan kita juga tidak mahu sekadar membida,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Petaling Jaya.

Beberapa tahun sebelum ini terdapat cadangan daripada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) untuk negara-negara ASEAN sepakat membida tuan rumah Piala Dunia edisi 2034.

Negara-negara serantau se­perti Singapura, Indonesia, Vietnam dan Thailand memberikan res­pons positif dalam memastikan saingan bola sepak paling berprestij dianjurkan di bumi ASEAN.

Hamidin yang kini menyandang jawatan Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) penggal 2023-2027 percaya angka yang diperlukan sangat tinggi.

“Mengenai kos penganjuran saya tidak pasti (nilai keseluruhan) tetapi jumlah sangat ba­nyak,” katanya.

Difahamkan FIFA tidak mempunyai masalah untuk negara-negara bergabung untuk menjadi tuan rumah memandangkan edisi 2026 nanti akan dianjurkan di tiga negara berbeza, Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI