BARCELONA – Bintang Manchester United, Marcus Rashford yakin mereka mampu menamatkan sisa-sisa perjuangan Barcelona dalam aksi timbal balik playoff Liga Europa di Stadium Old Trafford, Jumaat minggu depan.
Keyakinan itu hadir berdasarkan kejayaan United yang hampir-hampir menewaskan Barcelona sebelum terpaksa akur seri 2-2 pada aksi playoff pertama tersebut di Stadium Camp Nou awal pagi semalam.
Menariknya, Rashford, 25, terus menemui jaringan buat The Red Devils dalam perlawanan itu dan kini sudah meledak 13 gol daripada 16 perlawanan sejak tamat kempen Piala Dunia Qatar 2022 hujung tahun lalu.
“Keputusan ini seperti satu kekalahan kerana kami bermain dengan sangat baik selama 60 minit permainan. Kami berjaya mendapat dua gol pantas pada awal babak kedua.
“Saya bangga kerana jaringkan gol buat United dalam perlawanan hebat ini. Walaupun perasaan saya berbeza tetapi saya gembira dan kami perlu tamatkannya di Old Trafford nanti,” kata Rashford.
Penyerang England itu kini menjadi pemain ketiga United yang berjaya mengegarkan jaring The Catalans di Camp Nou selepas dua legenda mereka, Dwight Yorke dan Andy Cole melakukannya pada 1998.
Pengurus United, Erik ten Hag, 53, memuji prestasi barisan pemainnya, namun menyelar tindakan pengadil, Maurizio Mariani yang gagal melayangkan kad merah kepada pertahanan Barcelona, Jules Kounde kerana sengaja menghalang Rashford.
“Keputusan pengadil mempengaruhi perlawanan ini. Dia sepatutnya memberikan kad merah kerana menghalang Rashford yang ketika itu satu lawan satu dengan penjaga gol,” jelasnya.
Barcelona mendapat gol pertama menerusi Marcos Alonso (m-50) sebelum United bangkit mendahului 2-1 melalui Rashford dan jaringan sendiri Kounde pada minit ke-52 serta 59.
Hasrat United membawa pulang tiga mata tidak kesampaian apabila Raphinha menyamakan kedudukan buat Barcelona pada minit ke-76. – AGENSI