fbpx

Buru pari pantai di perairan Nenasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ikan pari hijau antara spesies yang kerap diperoleh Abdul.

SEBAGAI seorang kaki pancing, tinggal di kawasan berhampiran ‘port’ memancing merupakan satu kelebihan kerana dapat ‘melunaskan’ hobi berkenaan pada bila-bila masa sahaja.

Itulah yang dirasai oleh Abdul Bulat, 54, yang tinggal Tanjung Batu dekat Nenasi, Pekan, Pahang apabila kediamannya yang terletak berhampiran pantai membuatkan dia tidak pernah terlepas peluang memancing ikan di situ.

Malah, kata anak jati Perlis yang sudah 30 tahun menetap di Pahang itu, dia akan pergi ke pantai untuk memancing ikan hampir setiap hari sekiranya cuaca baik.

“Di kawasan perairan Nenasi ini, saya lebih gemar memburu ikan pari kerana spesies berkenaan lebih mencabar untuk didaratkan berbanding ikan lain.

“Boleh dikatakan, setiap hari selepas pulang daripada kerja, saya akan ke pantai pada waktu petang untuk memancing ikan pari,” katanya.

Cerita Abdul lagi, kebiasaannya dia akan mencari kawasan pantai yang berteluk untuk dijadikan ‘port’ memburu ikan pari.

Ini kerana jelasnya, ikan pari kerap menjadikan kawasan berkenaan sebagai tempat untuk melepaskan anak yang baru dilahirkan.

Katanya lagi, waktu yang paling sesuai untuk memburu ikan pari adalah ketika air laut mula pasang pada waktu petang hingga tengah malam terutamanya antara bulan Februari hingga April.

“Ketika air laut mula pasang, ikan pari akan masuk ke kawasan teluk dan beting pasir yang dalam untuk melepaskan anak.

“Itulah waktu yang paling sesuai untuk memburu pari kerana ikan akan terperangkap di kawasan tersebut.

PANTAI di perairan Nenasi cukup sesuai untuk memburu ikan pari terutamanya ketika air laut pasang.

“Jika air laut sudah pasang tinggi, beting pasir akan tenggelam dan ikan pari yang berada di kawasan teluk akan mudah berenang keluar ke kawasan lain, menyebabkan peluang untuk mendapatkannya juga agak tipis,” terangnya lagi.

Menurut Abdul, berdasarkan pengalamannya selama 20 tahun menjadi pemburu ikan pari pantai, umpan yang paling terbaik untuk menaikkan ikan spesies tersebut adalah ikan buluh hidup atau udang hidup.

Ini kerana jelasnya, ikan buluh merupakan antara umpan yang paling digemari ikan pari dan menjadi antara ‘diet’ utama spesies tersebut terutama pari hijau, pari pasir dan pari lalat.

Katanya lagi, terdapat beberapa kaedah yang dilakukannya untuk memburu ikan pari di perairan Nenasi yang meliputi kawasan pantai di bandar Pekan sehinggalah sempadan negeri Pahang dan Johor di Mersing.

Antara teknik yang dilakukannya adalah dengan mengesan kehadiran ikan pari sama ada ikan tersebut sudah berada di kawasan teluk berkenaan atau tidak.

“Biasanya saya akan menggunakan umpan ikan buluh hidup dan melepaskannya pada jarak kira-kira 100 meter dari kawasan pantai.

“Sekiranya dalam tempoh masa antara 10 hingga 15 minit umpan tersebut tidak terusik, ia bermakna ikan pari yang diburu tidak berada di situ dan saya akan beralih ke ‘port’ lain.

“Ini kerana kebiasaannya, jika ikan pari sudah masuk ke kawasan teluk, ikan buluh akan kelihatan ‘lari’ kerana ia boleh menghidu kehadiran ikan pari pada jarak kira-kira 100 meter.

“Malah, jika kawasan ‘port’ berkenaan sudah dimasuki ikan pari, umpan ikan buluh yang digunakan pasti akan disambar dalam tempoh kurang daripada 10 minit,” terangnya.

Menurut Abdul lagi, memandangkan saiz ikan pari yang kerap diperoleh di kawasan pantai berkenaan bersaiz melebihi lima kilogram seekor, dia akan menggunakan mata kail bersaiz tiga atau empat berserta tali perambut bersaiz 30 hingga 40 paun bagi mengelakkan terputus.

Tali perambut tersebut akan disambung pada tali utama bersaiz kira-kira 30 paun sepanjang hampir 500 meter dan dipadankan dengan batang joran sepanjang antara 12 hingga 15 kaki (3.6 hingga 4.5 meter).

Ini kerana jelasnya, ekor ikan pari yang tajam boleh memutuskan tali perambut jika digunakan terlalu kecil, atau jika ditarik tanpa menggunakan teknik yang betul.

“Sejak memancing ikan pari di perairan Nenasi ini, saya pernah mendaratkan ikan pari seberat 26 kilogram (kg), manakala purata saiz ikan yang biasa diperoleh adalah antara 10kg hingga 20kg.

“Biasanya, dalam tempoh seminggu, saya mampu memperoleh antara tiga hingga lima ekor ikan pari.

“Ikan pari berkenaan saya jual kepada pembeli pada harga antara RM10 hingga RM13 sekg mengikut saiz dan hasil jualan tersebut bolehlah jadikan pendapatan tambahan bagi menampung perbelanjaan harian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI