MELAKA – Pengusaha sebuah rumah inap desa di Bukit Katil dekat sini menawarkan pakej luar biasa Inap Rahmah pada harga RM5 bagi memberi peluang kepada golongan B40 menikmati percutian bersama insan tersayang.
Menurut pemilik Sarasera Homestay, Nurul Himmah Muhammad Kamaruzzaman, 34, berkata, dia tertarik untuk menawarkan pakej itu selepas melihat kebaikan program tersebut, yang mengutamakan aspek kebajikan berbanding keuntungan semata-mata.
Ujarnya lagi, pengalaman hidupnya membesar dalam keluarga sederhana dengan membantu ibu menjual sayur di pasar juga menjadi pendorong utama untuk melakukan Inap Rahmah.
“Kalau peniaga kedai makan mampu sediakan Menu Rahmah, mengapa tidak saya menawarkan juga Inap Rahmah ini kan? Objektifnya sama, iaitu memberi peluang dan meringankan beban golongan B40.
“Mungkin ada dalam kalangan mereka ingin membawa keluarga bercuti tetapi tidak mampu kerana harga penginapan, di sini mereka hanya perlu bayar RM5 sahaja dengan fasiliti lengkap termasuk kolam renang,” katanya di sini hari ini.
Katanya, bagaimanapun mereka yang ingin memanfaatkan kemudahan itu perlulah memenuhi syarat-syarat ditetapkan termasuklah pembuktian slip gaji bagi memastikan usaha dilakukan sampai kepada golongan sasaran.
“Inap Rahmah ini ditawarkan sehingga Mac depan pada hari biasa sahaja, harga sebenar penginapan di sini adalah RM650 semalam pada hari biasa dan RM750 pada cuti umum serta hujung minggu,” katanya. – KOSMO! ONLINE