Bagi seorang pemancing tegar, teknik memancing yang betul adalah penting untuk mendapatkan hasil lebih baik.
Lain lokasi atau lubuk memancing, pastinya lain juga teknik yang perlu dipraktikkan untuk menarik perhatian ikan-ikan tersebut agar tertarik dengan umpan yang disediakan.
Hal ini dikongsikan Muhammad Shahir Mohd. Zain atau lebih mesra disapa sebagai Saddam Moktang-Moktang dalam kalangan kaki pancing tegar.
Saddam yang berpengalaman luas dalam aktiviti memancing termasuk di laut dalam memberitahu, setiap teknik atau kaedah memancing perlu disesuaikan juga dengan situasi semasa dan tidak boleh dilakukan secara semberono.
“Saya bermula dengan teknik casting iaitu melempar gewang ke dalam air menggunakan rod memancing yang fleksibel, sebelum beralih kepada jigging iaitu mengumpan dan menarik dengan kuat.
“Ini kerana, saya sukakan cabaran termasuk apabila melihat aksi ikan-ikan yang agresif ketika memakan umpan.
“Tapi, antara teknik yang paling susah bagi saya sebenarnya adalah popping iaitu menarik perhatian ikan dengan bunyi seperti kocakan air dan sebagainya. Tidak semua tempat kita boleh popping,” kata anak jati Perak itu yang kini menetap di Pulau Pinang.
Antara ikan yang berjaya dinaikkan Saddam dan rakan-rakan terutamanya menerusi teknik popping atau jigging setakat ini termasuk ikan gerepoh atau GT, ikan merah, jenahak, tuna spesies dogtooth, ruby snapper dan lain-lain.
Minat yang mendalam terhadap aktiviti memancing laut dalam itu juga secara tidak langsung telah membawa Saddam hingga ke segenap ceruk atau lubuk ikan khususnya di sekitar Asia Tenggara.
Antara lokasi memancing yang pernah menjadi destinasi pilihannya termasuk Tukun Perak yang terletak berhampiran kawasan perairan Indonesia, Lucornia di Laut China Selatan, Pulau Jarak berdekatan kawasan pelantar minyak di Semporna, Sabah.
Selain itu, dia pernah memancing di kawasan berhampiran Laut Andaman serta dekat perairan Aceh, Sumatera.
“Memancing ini kadang-kadang saya pergi secara trip bersama rakan-rakan dengan menaiki bot dan adakalanya juga saya pergi bersendirian dengan berkayak.
“Setakat ini, memancing di kawasan perairan Aceh paling menarik dan puas hati kerana kebanyakan ikan di situ bersaiz besar,” katanya yang berkhidmat sebagai anggota bomba.
Bagaimanapun, kata Saddam, untuk tahun ini, dia dan rakan-rakan lebih banyak menghabiskan masa memancing di dalam negara sahaja disebabkan pandemik Covid-19.