fbpx

Beraya tahun ini tanpa duit KWSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Tahun lalu persiapan raya rancak dan ceria bukan sahaja bebas pandemik, tetapi masing-masing memperoleh manfaat pengeluaran duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sepanjang sebulan berpuasa pada tahun 2022, masyarakat keluar membeli-belah di bazar, ekspo raya dan pusat beli-belah sekali gus tunai dendam berbelanja besar, berbuka puasa selain bercuti dan balik kampung beraya.

Semuanya begitu gembira sambut Syawal 2022 kerana hasil i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas RM10,000 yang begitu mengujakan meskipun sedar mereka merisikokan simpanan hari tua.

Tahun ini, harapan disandarkan sekali lagi untuk menampung keperluan mendesak ekoran kos bahan mentah dan sara hidup yang melambung tinggi.

Tetapi ketegasan Perdana Menteri tidak membenarkan lagi pengeluaran dana berkenaan membuatkan ramai yang kecewa, geram dan marah.

Kecewaan itu bukan dirasai golongan muda, tetapi mereka yang sudah matang dan berusia lebih 50 tahun, pastinya bersetuju kerana memikirkan kelangsungan hidup selepas mula bersara pada usia 60 tahun nanti.

Kini debaran pengumuman pembayaran dividen atau agihan pendapatan KWSP tidak lama lagi sedang dirasai dan bakal menjadi perhatian masyarakat.
Pengumuman itu mungkin akan dibuat dua minggu lagi.

Pada 2 Mac 2022, dana persaraan itu mengumumkan kadar dividen bagi 2021 adalah sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional, manakala 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah.

Bersandarkan kepada pelbagai faktor persekitaran ekonomi, momentum pasaran saham domestik dan mengambil kira perkembangan ekonomi global, ramai penganalisis menjangkakan kadar dividen yang akan diumumkan nanti sekitar 5.5 peratus.

Berbalik kepada persediaan menyambut kedatangan bulan mulia, Ramadan dalam tempoh sebulan lagi dan seterusnya Syawal yang semestinya bakal melibatkan transaksi wang ringgit untuk pelbagai perbelanjaan pastinya akan memberi tekanan kepada mereka yang kurang berkemampuan dan memiliki kurang nilai simpanannya.

Alternatif terbaik adalah melakukan kerja-kerja sampingan atau separuh masa atau berniaga pada bulan Ramadan kerana ketika itu dikatakan rezeki sentiasa murah atau memajak barang kemas yang kini masih menawarkan nilai yang tinggi.

Pilihan lain adalah mengeluarkan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera atau Tabung Haji atau pilihan terakhirnya adalah membuat permohonan pinjaman peribadi sama ada melalui bank, koperasi ataupun ah long (mohon elakkan).

Ukur badan di baju sendiri, berhemah dalam perbelanjaan kerana tanpa duit simpanan daripada KWSP atau sekadar berbelanja menggunakan duit gaji bulanan atau hasil berniaga atau simpanan.

Hari yang dinanti iaitu 1 Ramadan dan juga 1 Syawal akan tiba juga, raikan hari yang mulia itu kerana sebenarnya ia menuntut kita untuk terus bersyukur apabila masih dipanjangkan usia sehingga ke hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI