SHAH ALAM – Pusat Perubatan MSU (MSUMC) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membentuk kerjasama pintar dalam bidang perubatan dan pemulihan kesihatan.
MoU itu turut melibatkan penajaan berjumlah RM200,000 bagi pasukan futsal negeri, Selangor MAC dalam Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) tahun ini.
Pengasas dan Presiden MSUMC, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid berkata, kerjasama itu meliputi aspek pemeriksaan kesihatan kepada semua pemain dan pengurusan pasukan, konsultansi perubatan dan pemulihan termasuk perkhidmatan ambulans.
Katanya, ia turut melibatkan sokongan pegawai perubatan, konsultansi dan rawatan pergigian serta penggunaan pusat fisioterapi bagi pemain yang mahu melanjutkan pengajian di Management & Science University (MSU).
“FAS berperanan penting dalam pembangunan pasukan futsal MSU yang bakal menyertai Liga Super Futsal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2023 terutama dalam penggunaan fasiliti, latihan dan perkongsian kepakaran.
“Kerjasama ini mampu meningkatkan prestasi atau pembangunan Selangor MAC dan MSUMC dapat menyalurkan ilmu kepakaran bagi memastikan aspek kesihatan dan kecergasan pemain berada pada tahap optimum,” katanya pada majlis menandatangani MoU itu di Dewan Canselor MSU di sini, hari ini.
Turut berangkat, Raja Muda Selangor yang juga Presiden FAS, Tengku Amir Shah menyaksikan pemeteraian MoU itu antara Ketua Pegawai Eksekutif MSUMC, Zahri Abd. Ghani dan Pengurus Selangor MAC, Mimi Afzan Afza. – KOSMO! ONLINE