PETALING JAYA – Sistem percukaian Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan mengalami gangguan bermula hari ini sehingga Ahad.
LHDN menerusi kenyataannya memaklumkan, ia susulan kerja-kerja menaik taraf komponen elektrikal yang telah dijadualkan.
“Gangguan melibatkan capaian sistem LHDN termasuk semua jenis e-perkhidmatan percukaian (online e-services) melalui aplikasi MyTax dan mobile bermula 10 malam, hari ini hingga Ahad, 6 pagi.
“Sementara di kaunter LHDN di Pusat Transformasi Bandar (UTC), gangguan hanya berlaku pada 18 Februari (Sabtu),” katanya.
Walau bagaimanapun katanya, pembayar cukai masih boleh mendapatkan maklumat percukaian melalui Portal Rasmi LHDN melalui pautan https://www.hasil.gov.my/.
“LHDN mohon maaf kepada pembayar cukai atas kesulitan dan penyelenggaraan ini dijangka memberi nilai tambah kepada perkhidmatan percukaian,” ujarnya.
Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh disalurkan ke Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara), LHDN Live chat atau borang maklum balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/. – KOSMO! ONLINE