KUALA LUMPUR – Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang memuat naik ciapan fitnah mengatakan pihaknya tidak membenarkan seorang mangsa kemalangan membuat laporan, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya terkesan ciapan berbaur fitnah tersebut terhadap pasukan itu pada pukul 9.58 malam, semalam.
Menurut beliau, ciapan tersebut dimuat naik pengguna Twitter @ManiamMKM yang mendakwa terdapat satu kemalangan berlaku di kawasan Bukit Damansara.
“Pengguna tersebut memaklumkan mangsa tidak dibenarkan membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Damansara dan telah diminta pergi ke Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) atau Ibu Pejabat Polis (IPD) bagi membuat laporan polis.
“Hasil siasatan awal mendapati, pondok polis yang dimaksudkan pengguna tersebut adalah pondok polis komuniti di Bukit Damansara yang telah ditutup semenjak tahun 2010 dan tidak beroperasi lagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelas Amihizam, pondok tersebut telah diambil alih oleh Syarikat Kawalan Keselamatan Sri Lara pada tahun 2011.
Sehubungan itu, Amihizam menegaskan ciapan tersebut merupakan satu fitnah dan akan membuat satu laporan polis berhubung tuduhan tersebut.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
“Kami meminta kerjasama orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan penyebaran maklumat di laman sosial tanpa sumber yang sahih dan tepat daripada pihak polis,” ujarnya.
Semalam, ciapan dimuat naik oleh pengguna Twitter @ManiamMKM turut mengatakan tindakan tidak membenarkan laporan polis dibuat disifatkan sebagai sesuatu di luar jangkaannya. -KOSMO! ONLINE.