fbpx

Golongan bujang mampu miliki rumah di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rodziah (tengah) menunjukkan buku Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangor Rumah Selangorku 3.0 selepas sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perumahan Dan Kesejahteraan Bandar Negeri Selangor di Pullman Bangsar di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Golongan bujang dijangka mampu memiliki sekurang-kurangnya seunit rumah di kawasan bandar melalui dasar rumah mampu milik di bawah program Rumah Selangorku 3.0.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor Rodziah Ismail berkata, kerajaan negeri memperkenalkan rumah satu bilik dengan keluasan 450 kaki persegi pada harga RM114,750 bagi memenuhi permintaan golongan belia di bawah 30 tahun yang bujang dan masih baru bekerja di kawasan pusat bandar.

Katanya, kerajaan negeri turut menawarkan rumah bagi golongan berkahwin iaitu dua, tiga dan empat bilik dengan keluasan rumah 600 kaki persegi hingga 900 kaki persegi pada harga jualan bermula RM153,000 hingga RM250,000.

“Melalui penambahbaikan dasar Rumah Selangorku 3.0 dibuat dengan mengambil kira pelbagai aspek seperti zon pembangunan, komponen pembangunan, spesifiaksi, kawalan pembangunan dan penguatkuasaan dan sebagainya.

“Penyediaan rumah satu bilik dan dua bilik ini telah dilaksanakan di negara maju di mana ianya realistik untuk dibangunkan di kawasan berkepadatan tinggi.

“Oleh yang demikian, dasar Rumah Selangorku 3.0 ini mensyaratkan penyediaan rumah jenis tersebut dibangunkan dikawasan pembanguan berorientasikan transit (TOD), pembangunan bersebelahan transit (TAD), kawasan pusat perniagaan (CBD) dan di kawasan Majlis Bandaraya di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Tetap (STANDCO) Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri Selangor Bilangan 1 2023 di sini, hari ini.

Tambahnya, statistik yang diperolehi menunjukkan sebanyak 55 peratus pemohon Rumah Selangorku terdiri kumpulan berusia 29 tahun ke bawah, 44 peratus berumur 30 hingga 49 tahun, manakala 1 peratus membabitkan golongan berusia 50 tahun ke atas.

Ujarnya, kerajaan negeri juga memikirkan kaedah bagi memudahkan pembeli rumah pertama di mana setiap pembelian Rumah Selangorku kali ini adalah termasuk kos guaman, kos pindah milik dan kos penyelenggaraan selama dua tahun oleh pemaju.

“Kita sudah langkah satu era baharu dalam pembangunan perumahan yang lebih mampan dan kondusif dan harap ia dapat beri momentum dalam merancakkan sektor pembinaan perumahan di negeri ini.

“Kerajaan negeri harap dasar ini dapat mendukung kestabilan sektor hartanah perumahan di Selangor untuk terus bertahan dan beri impak besar kepada pemulihan ekonomi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI