fbpx

Bekas penolong jurutera mekanikal dijel empat tahun, denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi pegawai SPRM selepas dituduh di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA – Seorang bekas penolong jurutera mekanikal dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM341, 000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan menerima suapan pada tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Mohd. Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Hairudin Ngadiron, 45, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh yang ketika itu bekerja di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bakri, Muar didapati telah menerima suapan dalam bentuk berbentuk pengubahsuaian rumah bernilai RM61,686.72.

Barang-barang tersebut termasuklah pintu, atap genting, kayu anjung, jubin lantai dan peralatan besi bumbung yang diterima dari Pengurus SMR Cahaya Enterprise.

Kesemua suapan itu adalah sebagai upah bagi membantu mendapatkan kerja-kerja pembaikan lapang sasar semi indoor, bangunan dan pondok pengawal di Maktab Teknik PDRM Bakri Muar pada 2016.

Tertuduh juga didapati menerima suapan dengan cara pembayaran membaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Landcruiser Prado berjumlah RM4, 200 daripada pihak sama

Kesemua barang suapan diterima tertuduh di sebuah rumah di Sungai Rambai, Jasin manakala pembayaran membaiki kenderaan dilakukan di bengkel di Parit Keroma, Muar, Johor. Kesalahan-kesalahan itu dilakukan tertuduh antara 23 Januari sehingga April 2017.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Peguam Mohd. Razak Sharif pada hujahannya merayu hukuman diringankan memandangkan itu kesalahan pertama selain tertuduh kini hanya bekerja di kebun sawit dengan pendapatan kira-kira RM800 sebulan.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zender Lim Wai Keong dan Pegawai Pendakwa Norsyarina Raizan bagaimanapun menegaskan kesalahan rasuah seolah-olah sudah menjadi suatu ‘norma baharu’ di negara ini.

Ujarnya, hukuman berat wajar diberikan sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh tetapi kepada masyarakat secara keseluruhannya selain sekiranya isu rasuah ini tidak dipandang serius, ia hanya akan menggagalkan usaha memajukan negara.

Selepas mendengar hujahan kedua pihak, Mohd. Nasir kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua hingga empat tahun serta denda RM22,000 hingga RM145,000 bagi setiap enam pertuduhan berkenaan serta penjara tambahan 36 bulan sekiranya gagal membayar kesemua jumlah denda.

Mohd. Nasir bagaimanapun kemudian menetapkan jaminan RM50,000 selepas pihak pembelaan merayu penangguhan hukuman kerana ingin membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Beliau memerintahkan pihak pembelaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dalam tempoh seminggu dan meminta tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Seramai 46 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dikemukakan sejak awal kes berjalan pada oktober 2018 lalu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI