PUTRAJAYA – Jabatan Audit Negara (JAN) mendedahkan masih terdapat dua isu tertunggak yang belum diselesaikan pihaknya sehingga ke hari ini.
Ia membabitkan tuntutan pampasan tanah bagi pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA Terminal 2) dan pampasan tanah Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pulau Pinang.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, isu tuntutan pampasan syarikat kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) bermula sejak 2016 dan ia masih diperingkat rundingan.
Beliau berkata, ada tiga isu masih dalam status tindakan dan langkah penyelesaian masih diperingkat rundingan antara kementerian dan syarikat terlibat.
“Kes itu ada implikasi kepada kerajaan dan ia melibatkan implikasi kos yang tinggi. Kita akan memantau isu itu sehingga selesai,” katanya pada sidang akhbar selepas membentangkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2, di sini hari ini.
Bagi isu tuntutan pampasan pembinaan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah pula, Nik Azman berkata, isu berkenaan tertunggak sejak 2017 dan belum diselesaikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Ditanya kenapa ia mengambil tempoh masa lama untuk diselesaikan, Nik Azman berkata, kelewatan tindakan biasanya ada kaitan dengan penstrukturan kementerian, rombakan Kabinet dan komponen bertanggungjawab berpindah ke kementerian lain.
“Kelewatan juga berlaku akibat sesetengah pihak yang tidak memahami kehendak audit. Ada juga perkara yang tidak boleh selesai namun kami akan bincang bagaimana untuk harmonikan supaya boleh selesai,” katanya. – KOSMO! ONLINE