fbpx

Pearl Abdul, dulu atlet kini penyanyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEARL ABDUL

USAHA tidak pernah mengkhianati hasil. Itu kata-kata yang sesuai menggambarkan perjalanan pendatang baharu, Pearl Abdul dalam industri seni sehingga akhirnya berjaya memulakan debut secara rasmi.

Tidak pernah ada erti putus asa buat anak jati Seremban, Negeri Sembilan itu biarpun percubaannya sebelum ini dalam sebuah program realiti popular tidak membuahkan hasil.

Begitupun, rezeki memihak kepadanya apabila desakan rakan ketika menemani ke uji bakat program I Can See Your Voice musim ketiga menurunkan peluang tanpa disangka apabila terpilih menjadi antara peserta pada episod ketiga menampilkan Ismail Izzani.

Bertitik tolak daripada situ, langkah Pearl menembusi industri dipermudah selepas dilamar menjadi artis naungan Armani Entertainment Group (AMG).

Bawah syarikat tersebut, bekas penuntut Diploma Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu mempertaruhkan lagu debut berjudul Ignore ciptaan Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan Jova Devito.

PERTANDINGAN I Can See Your Voice musim ketiga menjadi titik tolak perjalanan Pearl Abdul dalam dunia muzik.

Impian ‘mama’

Berbekalkan keunikan tersendiri dari segi fesyen dan vokal berbeza berbanding lain, Pearl teruja kerana bermula dengan angan-angan, kini dia akhirnya bergelar seorang penyanyi.

“Syukur alhamdulillah, bermula daripada angan-angan untuk menjadi penyanyi, peluang menghasilkan single ini adalah rezeki yang tidak saya sangka,” ujarnya.

Berkongsi kisah sebelum diterima menyertai industri seni, Pearl yang merupakan jurulatih renang separuh masa berkata, dia sanggup menuntut di ASWARA bagi mendalami ilmu muzik.

Keputusan tersebut dilakukan demi merealisasikan impian arwah ibunya yang mahu melihat dia membuat persembahan di pentas besar.

“Saya tanam niat jika benar-benar mahu jadi penyanyi atau menyertai industri muzik, sekurang-kurangnya kena tahu ilmu asas.

“Di ASWARA, saya belajar nyanyian, tarian dan sedikit lakonan. Saya banyak belajar perkara belakang tabir sehinggalah di hadapan panggung,” kongsinya yang merupakan bekas atlet polo air kebangsaan.

PERNAH bergelar atlet polo air kebangsaan, Pearl kini mencuba nasib sebagai penyanyi menerusi single Ignore.

Berkongsi lanjut tentang Ignore, Pearl memberitahu, lagu berkenaan merupakan sebuah karya bernuansa elektronik moden dengan sedikit suntikan elemen pop.

Sebagai salam pengenalan bergelar penyanyi, Pearl mengharapkan lagu Ignore dapat menerima kelainan dan keunikan yang ditawarkan dirinya.

“Semoga Ignore dapat dijadikan mesej kepada semua untuk berfikir lebih luas dalam perhubungan ataupun perkara berkaitan yang tidak patut di-Ignore (dihiraukan),” tutupnya.

Lagu Ignore sudah tersedia dalam semua platform penstriman utama seperti Apple Music, Spotify, JOOX, YouTube Music, KKBox dan Deezer.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI