SATU kejadian tidak diingini berlaku kepada penyanyi Hong-joong sewaktu menjayakan konsert jelajah di Eropah.
Menariknya, kejadian tersebut bukanlah sesuatu yang mendukacitakan, sebaliknya melucukan apabila Hong-jong secara tidak sengaja menyebabkan gigi depan patah akibat terkena mikrofon semasa membuat persembahan di Ziggo Dome, Amsterdam.
“Nak tahu sesuatu? Gigi saya patah lagi. Mungkin ini gigi yang sihat. Tapi gigi saya terhantuk pada mikrofon.
“Ini gigi depan. Saya nampak macam bodoh sikit. Pulang ke Korea nanti, saya akan berjumpa doktor gigi,” katanya.
Enggan merisaukan peminat, anggota ATEEZ itu menjelaskan dia langsung tidak sakit sewaktu terhantuk mikrofon.
“Banyak kali terhantuk. Dari jauh, kalian takkan nampak. Tapi kalau tengok dekat-dekat, saya nampak macam si bodoh,” selorohnya.