KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan yang tidak lagi membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah disebabkan pandemik Covid-19 telah pun selesai.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, antara sebab lain juga adalah moratorium pinjaman dan pemberian subsidi upah juga sudah tidak diteruskan.
Selain itu katanya, jumlah purata simpanan ahli melibatkan semua kaum telah berkurangan sebanyak 50 peratus iaitu RM16,100 pada 2019 iaitu sebelum Covid-19 melanda kepada RM8,100 selepas pengeluaran dibenarkan.
Katanya, seramai 6.7 juta ahli atau 51.5 peratus daripada 13.1 juta ahli berumur 55 tahun mempunyai simpanan RM10,000 dan ke bawah dan ia melibatkan kumpulan B40 dan M40.
“Jumlah simpanan antara kaum juga meluas purata simpanan ahli Melayu yang melibatkan 7 juta ahli pada April 2020 sebelum dibenarkan pengeluaran ialah RM16,900 tetapi pada 2022 hanya tinggal RM5,500.
“Peratusan penurunan (simpanan melibatkan) ahli bumiputera lain sebanyak 1.4 juta ahli daripada RM10,600 turun kepada RM3,300 sahaja yang tinggal dalam simpanan.
“Oleh kerana itulah mengapa kita tidak bercadang untuk memberikan lagi pengeluaran ini,” katanya di Parlimen hari ini. – KOSMO! ONLINE.