Oleh AIMUNI TUAN LAH
GUA MUSANG – Cabaran daripada rakan pengayuh lain menjadi pembakar semangat kepada sepasang suami isteri untuk berkayuh basikal sejauh 1,000 kilometer ke Johor, bermula pagi ini.
Amarudin Awang, 50, dan isterinya, Aminah Daud, 51, berbangga apabila menjadi pasangan pertama yang melakukan misi kayuhan basikal selama 12 hari bagi daerah ini.
Pasangan yang mesra dengan panggilan Pok Din dan Mok Din itu memulakan kayuhan di Bandar Utama di sini pada pukul 8.30 pagi ini.
Seramai 30 ahli Kelab Berbasikal Galas (GCC) termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim dan ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff turut mengiringi pasangan itu sejauh 17 kilometer.
Pok Din berkata, dia bersama isterinya bersemangat untuk menjayakan misi itu dan memberi inspirasi kepada pengayuh lain.
Katanya, idea melakukan kayuhan itu selepas mendapat sokongan rakan-rakan yang kerap mengadakan kayuhan santai bersamanya setiap hari.
“Sebelum ini, saya bersama isteri melakukan kayuhan sejauh 200 kilometer sahaja melalui jalan raya dan jalan kampung.
“Selain meningkatkan kesihatan diri, kayuhan basikal ini juga dapat mengeratkan hubungan bersama isteri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Pok Din berkata, perjalanan ke Johor Bahru itu akan melalui kawasan jalan Gua Musang, Kuala Krai dan Machang.
Katanya, di Terengganu mereka akan melalui kawasan Penarik, Batu Rakit, Marang, Kuala Dungun, Kerteh, dan Chukai.
Ujarnya, di Pahang pula dia dan isteri melalui Gambang, Pekan, Muadzam Shah, Kuala Rompin, Endau sebelum terus ke Johor Bahru.
Sementara itu, Aminah pula berkata, hobi mengayuh basikal bersama suami bukan dianggap kerja sia-sia apabila memberi banyak manfaat seperti menjaga kesihatan diri yang semakin meningkat usia.
Katanya, mereka mula mengayuh basikal sejak enam tahun lalu.
“Kami kerap mengambil bahagian dalam program kayuhan basikal peringkat daerah dan negeri.
“Kami membuat latihan selama tiga minggu sebelum memulakan misi kayuhan ke Johor. Kami membawa semangat rakan-rakan serta ahli keluarga dan berharap agar mereka mendoakan keselamatan kami pergi dan pulang,” katanya. – K! ONLINE