fbpx

Ayam, telur laris terjual pada jualan Pasar Tani Mesra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. ZOLKAFLY (kanan) membantu gerai jualan telur dan ayam ketika 'happy hour' di Pasar Tani Mesra sempena Hari Bertemu Pelanggan di pekarangan Stadium Indera Mulia, Ipoh hari ini.

IPOH – Sebanyak 1,000 ekor ayam dan 2,000 papan telur laris terjual dalam jualan Pasar Tani Mesra sempena Hari Bertemu Pelanggan di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Gerai menjual barangan keperluan itu menjadi tumpuan sebaik sahaja harga ‘happy hour’ RM6 bagi seekor ayam dan RM10 bagi sepapan telur gred A diumumkan dalam tiga sesi.

Seorang pengunjung, Nur Maira Adnan, 39, berkata, dia berpuas hati dengan harga yang ditawarkan malah tidak melepaskan peluang membeli ayam dan telur pada waktu ‘happy hour’.

“Apabila saya dengar ada jualan murah di sini, saya ajak rakan datang. Harganya memang jauh lebih murah, sebab jika beli seekor ayam di kedai runcit pun, boleh cecah RM18 ke RM20.

“Sebab itu, saya sanggup tunggu ‘happy hour’ sebab harga bagi seekor ayam hanya RM6, mana mahu dapat harga serendah itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang suri rumah, Kamsiah Nordin, 59, berkata, dia tidak kisah beratur panjang asalkan dapat membeli ayam dan telur yang dijual lebih murah daripada harga pasaran.

Katanya, jualan murah seperti itu perlu diteruskan pada masa akan datang bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

“Kalau boleh buat sebulan sekali, lebih kerap pun bagus juga. Bagi kami, ini masa yang ditunggu sebab sekarang semua orang mahu berjimat. Jika ada pilihan lebih murah apa salahnya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, jualan berkenaan disediakan bagi memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan pada harga berpatutan.

“Sambutan diterima sangat baik dan jika tiada halangan, kita akan teruskan program ini ke daerah-daerah lain, mungkin sebulan sekali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI