PETALING JAYA – Seorang anggota bomba menyatakan kesan gempa bumi yang begitu dahsyat telah membawa bersama kesengsaraan dan kesedihan buat penduduk hingga dia tidak mampu untuk menceritakan suasana yang berlaku ketika ini.
“Terlalu banyak kesedihan yang saya saksikan di sini. Saya tak dapat hendak ceritakan tetapi ia tidak mematahkan semangat pasukan untuk terus memberikan khidmat terbaik,” katanya yang enggan dikenali.
Anggota tersebut kini berada di salah satu kawasan bencana di Turkiye yang mana setakat ini telah mengorbankan puluhan ribu penduduk.
Menurut anggota tersebut, dia perlu mengambil masa untuk menceritakan pengalamannya kerana terlalu banyak kesedihan yang disaksikan dan sukar untuk dinukilkan dengan kata-kata.
“Situasi bencana di sini berbeza, amat besar dibandingkan dengan bencana negara kita. Anggaran dalam 12 bandar terlibat melibatkan puluhan ribu nyawa rakyat Turkiye.
“Walaupun sebak yang tidak tertahan di hati menyaksikan kesusahan rakyat di sini dan keadaan mangsa-mangsa terlibat, kami masih perlu terus kuat untuk jalankan tugas,” ceritanya.
Menurutnya lagi, pasukan misi mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia amat dihormati di sana menjadi salah satu faktor mereka terus semangat membantu.
“Bukan itu saja, rakyat di sini (Turkiye) amat menerima dan layan kami dengan baik serta sentiasa cuba membantu apa yang mampu bagi memudahkan tugas kami.
“Rindu juga hendak balik Malaysia tetapi jiwa penyelamat yang kami miliki mengatasi semua rasa tu dan rasa bersalah kalau tak bantu bersungguh-sungguh,” tambahnya.