BENTONG – Lebih 1,500 penduduk Kampung Chegar Medang di sini, dan kawasan sekitar gempar apabila air longkang di kampung yang terletak berhampiran kawasan perindustrian bertukar hitam secara tiba-tiba.
Kejadian kira-kira pukul 5.45 petang kelmarin itu menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk yang bimbang air berkenaan tercemar dan membahayakan kesihatan mereka serta merosakkan hidupan sungai.
Tinjauan Kosmo! mendapati, air longkang konkrit yang mengalir deras ke Sungai Benus melalui Kampung Chegar Medang itu berwarna hitam dan keadaan tersebut telah berlarutan sehingga semalam.
Seorang penduduk Azlin Ahmad, 51, berkata, dia yang sedang memotong rumput di belakang rumahnya terkejut melihat air yang pada mulanya jernih selepas hujan tiba-tiba menjadi hitam.
“Air itu bukan sahaja berwarna hitam, malah berbau busuk dan menganggu kehidupan harian penduduk.
“Kejadian ini bukan kali pertama berlaku, sudah tidak terkira penduduk menyaksikan kejadian seperti ini dan saya berharap pihak berkuasa dapat menyiasat dan mengambil tindakan segera,” katanya di sini semalam.
Azlin mendakwa, sudah banyak kali kejadian ini berlaku sehingga menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk mengenai puncanya.
Dakwanya, kebiasaannya air bertukar hitam berlaku pada malam minggu, namun berbeza pada kali ini.
Penduduk lain, Aini Jamin, 45, berkata, dia bimbang keselamatan anak-anaknya kerana ditakuti air berkenaan mempunyai bahan kimia berbahaya yang boleh bertindak balas seterusnya menjejaskan kesihatan penduduk.
Sementara itu, Ahli Majlis Perbandaran Bentong, Datuk Jasvir Singh Ram Singh meminta pihak berkuasa melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Katanya, ujian terhadap sampel air juga perlu dilakukan serta tindakan tegas sekiranya didapati mana-mana pihak termasuk industri yang melepaskan air buangan yang tidak dibenarkan. – KOSMO! ONLINE