Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Kerugian hampir RM5 juta terpaksa ditanggung seorang pemilik premis apabila kedai menjual perabot serta kelengkapan elektrik miliknya musnah dalam kebakaran di Jalan Lintas Kepayan, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, kebakaran mengakibatkan kemusnahan keseluruhan bangunan dua tingkat berkenaan.
Bagaimanapun, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dalam kebakaran berkenaan berikutan premis tidak beroperasi sewaktu kejadian.
Pengurus kedai perabot dikenali sebagai Chong, 50-an, berkata dia hanya mengetahui tentang kejadian itu selepas menerima panggilan daripada salah seorang pekerjanya.
“Premis kami masih belum beroperasi ketika itu. Sebaik tiba di premis ini, saya melihat sebahagian kedai sudah terbakar dan tidak mengetahui punca sebenar kebakaran.
“Kedai ini menjual perabot dan barang elektrik. Kerugian dianggarkan bernilai hampir RM5 juta,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.23 pagi dan seramai 41 anggota termasuk pegawai diarahkan ke lokasi kebakaran.
“Sejurus tiba di tempat kejadian, api sedang marak di kedai yang menempatkan barangan perabot namun, kebakaran berjaya dikawal sekitar pukul 7.20 pagi.
“Kita berjaya mengawal api daripada merebak ke kedai tayar dan sebuah rumah manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – K! ONLINE