KEMAMAN – Dua lagi kanak-kanak perempuan tampil membuat laporan mendakwa menjadi mangsa seksual doktor yang kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes amang seksual pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa berusia lapan dan sembilan tahun itu tampil membuat laporan tersebut bersama penjaga masing-masing di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini pada semalam.
“Kita terima lagi dua laporan daripada dua mangsa yang mendakwa dicabul pegawai perubatan sama sewaktu menerima rawatan di hospital sama.
“Kedua-kedua mangsa mendakwa insiden tersebut berlaku sejak awal bulan Januari lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kosmo! 11 Februari lalu melaporkan seorang doktor berusia 30 tahun ditahan reman bagi membantu kes cabul terhadap seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang juga pesakitnya.
Kanak-kanak yang mengidap diabetes tersebut mendakwa pegawai perubatan tersebut telah membuka baju serta meraba dadanya selain merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon bimbit di bilik rawatan wad hospital tersebut pada 8 Februari lalu.
Pegawai perubatan itu kemudiannya ditahan pada keesokan harunya susulan laporan polis dibuat ibu bapa kanak-kanak berkenaan. – KOSMO! ONLINE