KUALA LUMPUR – Kerajaan yakin dapat menyelesaikan isu kekurangan pekerja asing dalam tempoh tiga bulan dengan pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, menerusi pelan tersebut proses kelulusan permohonan kuota pekerja asing serta kelulusan penggajian dapat dipercepatkan.
Katanya, inisiatif tersebut akan melibatkan beberapa sektor kritikal seperti pembuatan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan iaitu bagi subsektor restoran.
“Majikan di bawah kelima-lima sektor dan subsektor tersebut boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing melalui platform Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) di bawah modul FWe Approval.
“Di bawah Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing ini, majikan-majikan yang memerlukan pekerja asing dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian dan kelayakan kuota yang dikenakan sebelum ini dan tanpa proses temuduga oleh Agensi Kawal Selia (AKS),” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin tahu mengenai usaha yang diambil untuk mempercepatkan kemasukan pekerja asing dan kelonggaran yang diberikan kepada majikan.
Tambah Sivakumar, pengiklanan kekosongan jawatan di portal MyFuture Jobs juga telah dikecualikan berkuatkuasa serta merta.
“Kementerian Sumber Manusia akan memproses dan memberi kelulusan permohonan penggajian pekerja asing dalam tempoh tiga hari bekerja daripada tarikh permohonan diterima,” katanya. – KOSMO! ONLINE.