fbpx

Agong, Permaisuri serikan Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina LBS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, berkenan menulis seni kaligrafi Cina sebagai simbolik pembuka acara di Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina LBS di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Majlis Makan Malam sempena sambutan Tahun Baharu Cina LBS Bina Group Berhad (LBS) di Mandarin Oriental, di sini semalam telah diserikan dengan keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Bertemakan ‘Muhibah’, majlis turut dilengkapkan dengan kehadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Turut hadir di majlis tersebut ialah tokoh-tokoh terkemuka kerajaan, perbankan, industri pembinaan serta persatuan masyarakat Cina dan tetamu luar negara.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata, kesudian Seri Paduka mencemar duli ke Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina LBS di Tahun Arnab ini, merupakan satu peristiwa penting bagi LBS dan merupakan permulaan yang istimewa bagi Kumpulan untuk tahun ini.

Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan melakukan acara gaulan ‘yee sang’ bersama Hock San dan isterinya.

“LBS telah melonjak ke tahap yang luar biasa pada Tahun Harimau yang lepas, memecahkan pelbagai rekod daripada galeri jualan dengan bilangan rumah pameran contoh terbanyak di Malaysia, dianugerahkan sebagai Syarikat Pengurusan Terbaik Malaysia, hingga memperolehi jualan melebihi sasaran sebanyak RM2 bilion.

“Semua ini tercapai berdasarkan sinergi daripada pasukan LBS, sokongan pihak berkepentingan dan sudah tentu, kepercayaan pelanggan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

Hock San menambah, tema Muhibah bagi majlis berkenaan adalah sinonim dengan inisiatif dan pendekatan kerajaan perpaduan hari ini.

Tegasnya, LBS yang dikenali sebagai Pemaju Perumahan Rakyat, akan terus komited dan memberi sokongan padu dalam membentuk perpaduan komuniti, yang mana sektor perumahan adalah penting bagi pembangunan ekonomi, sosial dan kemasyarakatan, lebih-lebih lagi segmen kediaman mampu milik yang berkualiti.

Hock San dan isteri turut berkongsi tradisi Tahun Baharu Cina bersama Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sebagai simbolik keceriaan dan kemakmuran.

“Selaras dengan reputasi kami sebagai Pemaju Rakyat, LBS akan terus membina dan menyediakan penyelesaian perumahan berkualiti di samping memenuhi tanggungjawab sosial korporat kami seiring dengan matlamat negara.

“Kepada para pemimpin, rakan-rakan, dan keluarga yang hadir, saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2023 dan semoga semua hadirin mendapat limpahan kemewahan serta kemakmuran jangka panjang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI