Oleh NOOR HAYATI MAMAT
HULU TERENGGANU – Seorang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman (Perhilitan) terpaksa menahan kesakitan selama lebih enam jam akibat dipatuk ular kapak sebelum diselamatkan anggota bomba di dalam Hutan Simpan Sekayu di sini semalam.
Sewaktu kejadian kira-kira pukul 2.49 petang itu, mangsa, Muhammad Imran Khasimin Kamarul Zaman, 24, dipatuk pada bahagian buku lali kiri ketika sedang mengadakan latihan dalam hutan simpan berkenaan.
Difahamkan, dia memasuki hutan simpan terbabit bersama 10 anggota Perhilitan lain dan Pasukan Gerakan Am, Polis Diraja Malaysia bagi tujuan latihan sejak Rabu lalu.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Mohd. Zamri Muda berkata, seramai lapan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki dua kenderaan pacuan empat roda sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 3.49 petang.
“Berdasarkan maklumat, mangsa berada jauh di dalam hutan kira-kira 3.5 kilometer dari Hutan Lipur Sekayu di sini.
“Anggota bomba kemudiannya terpaksa berjalan kaki ke lokasi kejadian dengan bantuan empat kakitangan Perhilitan sebagai penunjuk arah ekoran kawasan itu tidak boleh dilalui kenderaan,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Zamri berkata, Muhammad Imran Khasimin telah diusung keluar kawasan hutan secara berjalan kaki yang mengambil masa kira-kira dua jam. – K! ONLINE