PETALING JAYA – Hubungan cinta lebih sedekad bersama kekasih yang juga pengurusnya sering membuatkan penyanyi Shiha Zikir diasak dengan pertanyaan untuk menamatkan zaman bujang.
Shiha, 36, bagaimanapun mengakui dia tidak begitu selesa berkongsi hal peribadi kepada umum terutama sekali perihal yang sangat privasi iaitu perkahwinan.
Biarpun begitu, pemilik nama lengkap Nurshiha Mohd. Zikir itu tidak menolak sekiranya dia perlu menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat memandangkan usianya juga semakin meningkat.
“Saya tidak gemar berkongsi hal peribadi kerana tahu orang akan bosan dengan perkara sama.
“Usia pula sudah menjangkau 36 tahun dan okey sahaja bila-bila untuk berkahwin,” katanya.
Biarpun bersedia, namun pelantun lagu Irama itu tidak terburu-buru berkahwin sebaliknya bersikap terbuka jika proses tersebut dipercepatkan.
“Bukan tidak suka menjawab soal kahwin tetapi jawapan akan tetap sama. Ikutkan perancangan kalau lagi cepat alhamdulillah. Saya pula tidak terdesak atau mendesak diri sendiri untuk berkahwin.
“Saya percaya soal masa dan tunggu sahaja waktu yang sesuai. Segalanya pun sudah ditentukan bila akan terjadi,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, pelakon drama Ada Apa Dengan Saka itu akan berkongsi berita gembira sekiranya sudah disahkan kerana buat masa sekarang dia sibuk dengan jadual kerja yang padat.
“Awal tahun dan hujung tahun lepas saya sangat sibuk menjalani penggambaran untuk syarikat sendiri Shiha Zikir Empire Holding Sdn. Bhd.
“Tahun ini pula saya banyak fokus merakamkan single terbaharu, Semi Final Muzik-Muzik dan Anugerah Juara Lagu.
“Saya tidak menolak jika ditakdirkan untuk berkahwin dan kalau orang tanya berkenaan kahwin saya akan kongsi bila tiba masanya,” tuturnya.
Terdahulu, Shiha menjalin hubungan cinta dengan pengurus sendiri, Kamarul Arifin Baharun atau Arul selama lebih 14 tahun. – KOSMO! ONLINE